My Add

Saturday 3 December 2011

Graduan Melayu terima gaji rendah: Azim

KUALA LUMPUR, SABTU, 93 Disember, 2011: ORANG Melayu dan Bumiputera negara ini yang masih ketinggalan berbanding bukan Melayu dari segi gaji dan pendapatan, kata Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi. 

Wakil UMNO Wilayah Persekutuan itu berkata, orang Melayu dan Bumiputera adalah majoriti graduan universiti tetapi menerima gaji permulaan paling rendah sebaik memasuki pasaran kerja.

Beliau berkata, mengikut statistik Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2009, kira-kira 53 peratus graduan Melayu dan Bumiputera mendapat gaji bawah RM1,500.

Katanya, keadaan itu jauh berbeza berbanding 70 peratus graduan keturunan Cina mendapat lebih RM1,500 manakala 55 peratus graduan India mendapat gaji lebih RM1,500. 

"Kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama agensi Bloomberg dan Bursa Malaysia yang meliputi penyiasatan isi rumah 2009, pula mendapati pendapatan purata bulanan isi rumah Melayu dan Bumiputera yang bekerja sebagai majikan juga ketinggalan. 

"Mereka hanya memperoleh RM7,078 sebulan, manakala majikan India meraih RM7,271 dan majikan Cina sebanyak RM8,559," katanya ketika membahaskan usul ekonomi pada Persidangan Agung UMNO hari ini. 

Abdul Azim berkata, kumpulan Bumiputera juga ketinggalan dalam sektor awam apabila memperoleh pendapatan bulanan purata RM4,925 berbanding RM5,109 bagi kaum India dan masyarakat Cina sebanyak RM6,288.

Bagi pekerja sendiri, katanya, masyarakat Bumiputera memperoleh RM2,487 diikuti India yang menerima RM3,717 dan Cina sebanyak RM4,561. 

"Berdasarkan fakta ini, jelas bahawa orang Melayu dan Bumiputera masih ketinggalan dan memerlukan suntikan daripada kerajaan bagi memastikan mereka mampu bersaing dengan kaum lain," katanya. 

Beliau berkata, kajian terperinci juga perlu dijalankan untuk mengetahui faktor yang menyebabkan keadaan itu berlaku.

Katanya, fenomena tidak sihat tidak harus dibiarkan berterusan kerana boleh menyebabkan perasaan tidak puas hati dan konflik yang merugikan negara. UM

No comments:

Post a Comment