My Add

Saturday 3 December 2011

Tuanku Mizan ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih

TUANKU Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah berangkat tiba sambil diiringi Zulkifeli Mohd. Zin pada Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. - Bernama

KUALA LUMPUR, SABTU 03 Disember, 2011: YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Sungai Besi di sini, semalam.

Perbarisan itu diadakan sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Turut hadir pada upacara itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad, Panglima Angkatan Tentera (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin serta panglima ketiga-tiga cabang tentera.

Keberangkatan tiba baginda berdua di Dataran Panglima Tentera Darat tepat pada pukul 9 pagi disambut dengan lagu Negaraku serentak dengan tembakan meriam 21 das.

Seri Paduka kemudiannya menaiki pentas khas bagi menerima tabik hormat pasukan kawalan kehormat yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Pada masa sama, lima helikopter milik ATM yang masing-masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat di ruang udara Dataran Panglima Tentera Darat.

Seri Paduka kemudian memeriksa perbarisan terdiri daripada 323 anggota dan pegawai lain-lain pangkat dari tiga detachment sebelum laungan Daulat Tuanku.

sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan bergema di Dataran Panglima Tentera Darat pada penghujung istiadat disusuli dengan bacaan doa. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment