My Add

Friday 9 December 2011

Guan Eng ikuti selaman bersama KD Tun Razak

DI ATAS KD JEBAT, JUMAAT, 09 Disember, 2011:
KETUA Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sempat melambaikan ke arah wartawan dan jurugambar dari atas helikopter tempur, Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawanya pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selepas hampir sejam menyertai selaman khas kapal selam kedua negara, KD Tun Razak, petang semalam.

Ia secara tidak langsung menggambarkan beliau berpuas hati dengan selaman khas itu selepas dipelawa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menangkis dakwaan pembangkang bahawa aset berkenaan mengalami masalah teknikal dan tidak berfungsi sepenuhnya.

Malah, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP antara individu bertuah yang diberi peluang merasai sendiri pengalaman 'menyelam' bersama KD Tun Razak pada kedalaman 55 meter di perairan Langkawi, kira-kira 40 batu nautika dari Jeti Awana Porto Malai.

Selaman itu bermula kira-kira jam 3.45 petang sebaik rombongan pemimpin pembangkang itu tiba di kapal pengiring KD Lekiu sebelum diberi taklimat dan kemudiannya dipindahkan ke KD Tun Razak mengguna bot tempur, Rigid Invertible Boat (RIB) sebelum timbul semula di permukaan kira-kira jam 5.10 petang.

Selain Guan Eng, turut menyertai sesi selaman khas itu ialah Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Jamil Osman dan tiga wakil media, termasuk krew Majalah 3 bagi merakamkan acara berkenaan. Manakala, 27 wakil media tempatan lain turut dibawa menaiki kapal pengiring, KD Jebat dan KD Lekiu dari kelas 'frigate' bagi melihat sendiri bagaimana aset pertahanan strategik itu beroperasi dalam melindungi kedaulatan perairan negara.

No comments:

Post a Comment