My Add

Saturday 17 December 2011

Hayati semangat kompetitif rakyat China: Ungku Aziz

KUALA LUMPUR, SABTU, 17 Disember, 2011: Generasi muda Melayu masa kini perlu menghayati budaya dan semangat kompetitif rakyat China untuk mencorak kehidupan lebih inovatif dan kreatif serta memperluaskan lagi kotak pemikiran sedia ada, kata Profesor Diraja Ungku Aziz, hari ini. 

Beliau berkata, kerajaan perlu menghantar pelajar Melayu khususnya untuk menuntut di universiti ternama di negara itu bagi menyerap pengetahuan serta budaya hidup mereka.

"Saya rasa sudah sampai masanya kita menukar haluan dan memperluaskan lagi sudut pandang kita dari negara Jepun dan Korea, ke negara China," katanya ketika berucap pada Bengkel Sambutan 30 tahun Dasar Pandang ke Timur di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, di sini.

Tokoh akademik itu menarik perhatian bahawa masalah besar yang dihadapi generasi muda Melayu sekarang ialah mereka berada pada zon selesa dan kurang kompetitif, tidak seperti orang muda dan golongan pelajar di China. 

"Dunia bergerak tetapi kita tidak bergerak. Saya cuma hendak gambarkan di sini orang Jepun di negara mereka sudah berubah, mengapa kita tidak?...Anak Melayu perlu berubah. 

“Anak Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT), bekas graduan serta ribuan bakal penuntut IPT perlu mengubah minda mereka,” katanya. 

Ungku Aziz berkata, impak mempelajari ilmu di negara China sendiri mampu membawa perubahan kepada orang Melayu kerana penguasaan bahasa Mandarin dan kemahiran yang diperoleh mampu membentuk generasi yang berdaya saing selain membuka peluang pekerjaan besar untuk mereka.

"Perlu saya terangkan pembinaan budaya negara China perlu diceduk orang Melayu dan dibawa balik ke Malaysia supaya negara ini boleh maju dan menjadi kompetitif,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment