My Add

Saturday 24 December 2011

Isu pemohon suaka: KL sedia bekerjasama dengan Australia

PUTRAJAYA, SABTU, 24 Disember, 2011: Malaysia mengulangi pendirian untuk sedia bekerjasama dengan Australia dalam isu perjanjian pertukaran pelarian dan pemohon suaka antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, ia berikutan kegiatan jenayah tersebut melibatkan risiko yang tinggi kepada mangsa yang terlibat hingga mengakibatkan kematian.

Katanya, atas dasar tersebut, Malaysia komited untuk memerangi kegiatan pemerdagangan dan sindiket penyeludupan manusia dengan bantuan negara serantau.

"Isu ini pernah dibincangkan pada Persidangan Menteri-Menteri Proses Bali baru-baru ini tetapi hingga sekarang ia masih tidak mendatangkan apa-apa kesan dan memerlukan masa untuk direalisasikan.

"Malaysia dan Australia telah mengambil pendekatan sewajarnya untuk menangani isu ini dengan merujuk kepada isu migrasi haram termasuk penyeludupan dan pemerdagangan manusia seperti yang dikehendaki dalam kerangka kerjasama serantau menangani masalah pendatang tanpa izin (PATI) di rantau Asia Pasifik.

"Bagaimanapun impak penuh urusan ini masih tidak jelas sehingga ia dapat direalisasikan dalam dunia realiti," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai kejadian malang yang menimpa 250 migran dari Afghanistan, Iran dan Pakistan apabila bot yang mereka naiki karam pada awal Sabtu lalu di perairan Perigi, Trenggalek, Jawa Timur.

Bot tersebut yang dalam perjalanan ke Australia untuk menyeludup migran secara haram tenggelam selepas jaket keselamatan yang disediakan tidak mencukupi menampung jumlah penumpang yang ramai.

Tambah Abu Seman, kejadian malang tersebut merupakan fakta sebenar bahawa isu migran haram merupakan perkara kritikal di rantau ini dan memerlukan penyelesaian segera.

"Isu ini perlu diselesaikan oleh negara-negara di Asia Pasifik seperti yang terdapat dalam kerangka kerjasama serantau melalui pendekatan oleh kedua-dua ahli yang menandatangani dan tidak menandatangani pada konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1951 dan Protokol Berkaitan Status Pelarian 1967 yang mengkehendaki setiap ahli bekerja secara muafakat dan bersepadu berdepan isu ini.

"Justeru, Malaysia sangat berbesar hati sekiranya kerjasama ini dengan Australia dapat disambung jika ia boleh menghentikan lebih banyak nyawa manusia daripada melayang," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment