My Add

Wednesday 28 December 2011

Keadaan banjir di empat negeri bertambah baik

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (dua dari kiri) melawat kawasan hakisan di pesisir Pantai Irama di Bachok yang diancam hakisan berikutan angin kencang dan kejadian ombak besar sejak lima hari lalu, hari ini. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR, RABU, 28 Disember, 2011: Keadaan kawasan yang dilanda banjir di empat negeri, iaitu Sarawak, Pahang, Johor dan Sabah, bertambah baik dengan bilangan mangsa di pusat pemindahan menunjukkan penurunan setakat 6 petang tadi. 

Sarawak masih kekal dengan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 2,938 mangsa membabitkan 772 keluarga di lima bahagian yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan banjir setakat petang tadi.

Pemangku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Sarawak, Datuk Misnu Taha, berkata lima bahagian yang masih lagi terjejas ialah Samarahan membabitkan 310 keluarga dengan 1,333 mangsa diikuti Kuching (341 keluarga dengan 958 mangsa), Sibu (87 keluarga dengan 539 mangsa), Sri Aman (33 keluarga dengan 102 mangsa) dan Sarikei satu keluarga dengan enam mangsa.

"Keadaan ketika ini sudah sedikit pulih berbanding tiga hari lalu dan keadaan hujan diramal akan berterusan sehingga 30 Disember ini," katanya pada sidang media di Kuching. 

Katanya, beberapa jalan juga masih ditenggelami air iaitu Jalan Pengkalan Pantu, Jalan Sembau/Stumbin dan Julau/Entabai. 

Katanya, setakat ini tidak ada sebarang kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku di kawasan yang dilanda banjir. 

Di KUANTAN, hanya satu pusat pemindahan mangsa banjir dibuka yang menempatkan seramai 15 orang daripada tiga keluarga petang tadi. 

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, semua mereka ditempatkan di Balai Raya Kampung Gadak selepas kawasan penempatan mereka di Kampung Gadak masih dinaiki air. 

"Manakala semua mangsa seramai 52 orang daripada 14 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Teluk Gading sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 10.30 pagi tadi selepas keadaan kembali pulih," katanya. 

Di JOHOR BAHARU, jumlah mangsa banjir di Johor semakin berkurangan kepada 715 orang petang tadi berbanding 1,075 orang, pagi tadi. 

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, setakat 6 petang, semua mereka ditempatkan di 11 pusat pemindahan iaitu tujuh di Segamat, tiga di Mersing dan satu di Batu Pahat. 

Tujuh pusat pemindahan di Segamat itu membabitkan Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang, Kampung Pogoh, Kampung Tandong, Kampung Mensudut Pindah, Kampung Kuala Paya dan Kampung Spangloi. 

Tiga pusat pemindahan di Mersing pula membabitkan Pertubuhan Peladang Endau, Sekolah Kebangsaan Bandar Endau dan Kampung Tanah Abang (Transit Jemaluang) manakala satu pusat pemindahan di Batu Pahat membabitkan Sekolah Kebangsaan Bandan. 

Di KOTA KINABALU, seramai 561 mangsa banjir di Kudat dipindahkan malam tadi akibat hujan berterusan sejak awal pagi kelmarin. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Jamaludin Hussin, bagaimanapun berkata semua mangsa sudah kembali ke rumah masing-masing sejak awal pagi tadi apabila banjir mula surut. 

"Pasukan Bomba dan Penyelamat Kudat dengan bantuan polis daerah memindahkan mangsa di Kampung Korina, Kampung Narandang dan Kampung Andap Jawa ke Dewan Sikuati Kudat sejak 8.30 malam apabila paras air meningkat kepada 2.2 meter. 

"Hujan berhenti pada 11.54 malam dan mangsa mula kembali ke rumah masing-masing secara berperingkat awal pagi tadi hingga 10.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan. 

Jamaludin berkata, hujan berterusan sejak kelmarin menyebabkan paras air Sungai Korina meningkat tetapi pemindahan mangsa tidak dilakukan sehingga malam tadi. 
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment