JASIN, RABU, 28 Disember, 2011: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya merampas 1.56 juta batang rokok tidak sah dengan cukai sebanyak RM807,000 di negeri ini dari awal tahun ini hingga semalam.
Pengarahnya, Datuk Mohd Nasir Said, berkata rampasan bernilai RM179,000 itu adalah hasil operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan di 169 premis perniagaan dan seramai 14 individu didakwa.
Sementara itu, beliau berkata, pegawai penguatkuasa kastam yang ditembak di hadapan rumahnya di Jalan Sungai Air Hitam, Taman Tanjung Minyak, di sini, Jumaat lalu kini dilaporkan stabil.
“Rosli Aziz, 53, selesai menjalani dua pembedahan Sabtu lalu dan kini ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan,” katanya selepas merasmikan Kempen Membasmi Jualan Rokok Tidak Sah dan Khidmat Bakti Masyarakat di sini, hari ini.
Mohd Nasir berkata, kemalangan yang menimpa pegawainya itu dipercayai bermotifkan dendam berikutan kejayaannya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan mendakwa lebih 15 ahli sindiket tahun ini.
Susulan itu, semua pegawai penguatkuasa kastam dinasihatkan mengambil langkah keselamatan dalam setiap tugas penguatkuasaan dan ketika di rumah. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment