My Add

Thursday 29 December 2011

Kemelut dalaman Pas selesai

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
BACHOK, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan kemelut yang melanda parti itu membabitkan bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hasan Ali dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali telah selesai.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kedudukan Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok bagi dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang kepada ahli Pas di kawasan tersebut untuk menentukannya.

Beliau berkata, satu majlis diadakan di antara ketiga-tiga pemimpin terbabit dengan barisan kepemimpinan Pas Pusat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10, bagi meraikan penyelesaian kemelut tersebut.

"Semalam ada pertemuan majlis 'mahabbah' yang dianjur oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, saya selaku tuan rumah sahaja.

"Saya hanya mengucap syukur kepada Allah kerana kecoh yang berlaku reda dan Hasan menarik balik kenyataannya yang sensitif. Ini tanda keikhlasan dan 'anak jantan' apabila sedar ini salah.

"Kita tarik balik dan memohon maaf, ini ajaran agama bukan senang manusia buat salah lepas itu tarik balik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pantai di sekitar daerah ini semalam yang rosak teruk akibat ombak besar tiga hari lalu.

Beliau diminta mengulas mengenai pertemuan di antara ketiga-tiga pemimpin terbabit bersama kepemimpinan Pas Pusat semalam.

Sebelum ini, Hasan dalam kenyataannya menolak dasar negara berkebajikan kerana perjuangan untuk menubuhkan negara Islam lebih besar.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu, beliau menarik balik kenyataan tersebut.

Mustafa sebelum itu mendakwa Hasan dan Nasharuddin terperangkap dalam agenda politik UMNO serta mengadakan pertemuan dengan tiga individu lain di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Ramadan lalu.

Sementara itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan negeri akan terus memantau kesan hakisan ombak besar yang melanda pantai di negeri ini.

"Kita akan nilai dan langkah-langkah yang perlu diambil, kita fikir macam mana, boleh jadi sistem yang ada kita akan ubah kepada sistem lain supaya ia dapat menahan ombak besar daripada terus menghakis pantai ini.

"Usaha kerajaan negeri macam biasa, semua pihak ada peranan baik negeri dan Pusat bagi memastikan alam ini terus terpelihara," katanya.

Fenomena air pasang besar yang melanda pantai negeri ini menyebabkan hakisan dan kerosakan harta benda yang teruk. - UM

No comments:

Post a Comment