My Add

Saturday 3 December 2011

Kerajaan telus lulus 10 cadangan penambahbaikan pilihan raya

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Disember, 2011:
BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan tindakan meluluskan cadangan penambahbaikan proses pilihan raya sebagai bukti ketelusan kerajaan memenuhi kehendak rakyat.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, tindakan itu amat dialu-alukan dan ia dilaksanakan tepat pada masanya.

"Diharapkan tindakan menambah baik proses pilihan raya ini akan berjaya mengatasi segala permasalahan yang dihadapi semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

"Saya percaya Perdana Menteri telah mengkaji sebaiknya dalam usaha memenuhi kehendak rakyat dan mengambil kira pandangan semua pihak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, emalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas 10 cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya bagi memastikan proses pilihan raya bebas dan adil yang diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam.

Antara cadangan penambahbaikan tersebut ialah penggunaan dakwat kekal, pengundian awal; pengundi tidak hadir luar negara; pengundi luar kawasan; penukaran kawasan pendaftaran; pembersihan daftar pemilih, pameran rang daftar pemilih tambahan, ketelusan proses mengundi; penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perkara tersebut turut dipersetujui oleh Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Muaamar Ghadafi Jamal Jamaludin.

"Bukti ketelusan tersebut jelas apabila PSC sendiri diwakili oleh semua parti dan setiap pandangan diambil kira.

"Rakyat boleh menilai secara matang dengan tindakan yang dilakukan kerajaan ini dalam usahanya memenuhi semua kehendak rakyat dan bagi memastikan pilihan raya itu dilaksanakan secara bebas dan adil," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, pihak pembangkang sekarang tidak ada asas lagi untuk menyangkal atau menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

"Pembangkang mahukan sistem pilihan raya yang lebih 'bersih' dan kerajaan sudahpun menyediakan cadangan menambah baik proses pilihan raya supaya semua pihak berpuas hati dengan setiap keputusan yang akan diumumkan," jelasnya.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berharap supaya keputusan untuk menambah baik proses pilihan raya dapat memuaskan hati semua pihak.

"Kalau kita lihat, dari dulu lagi, pihak pembangkang asyik menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap proses pilihan raya yang diadakan di negara.

"Diharapkan supaya isu-isu berkaitan dengan pilihan raya tidak lagi dibangkitkan memandangkan kerajaan sudah bersedia menerima cadangan untuk menjadikan proses pilihan raya yang lebih telus," ujarnya.

No comments:

Post a Comment