My Add

Saturday 3 December 2011

Bantu kontraktor Melayu

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Disember, 2011:
PENDEKATAN rangsangan ekonomi bumiputera yang digariskan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) perlu ‘mengalir ke bawah’ bagi membantu kontraktor Melayu bersaing dan membangunkan sosioekonomi Melayu.

Perwakilan UMNO Negeri Perak, Datuk Idris Hashim (gambar) berkata, justeru syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu mengambil alih atau membeli ekuiti lebih banyak syarikat-syarikat rangkaian pembekal bagi membantu usahawan Melayu.

Ini kerana, kata beliau, rangkaian pembekal merupakan antara faktor penting untuk menjayakan agenda ekonomi Melayu khususnya dalam persaingan dunia perniagaan.

“Dulu tiap-tiap satu projek RM1, 80 sen bukan kita yang punya sebab paku bukan kita punya, besi bukan kita punya, pasir bukan kita punya. Semua mereka punya. Kontraktor Melayu hanya dapat 20 sen.

“Jadi kita nak minta yang berkenaan kalau boleh bagilah kepada orang Melayu. GLC kena bantu orang Melayu.

“Bukan tidak ada orang Melayu yang tidak boleh buat kerja...berpengalaman. Tetapi mereka yang dapat (projek) janganlah cuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencadangkan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.

Idris yang juga Ketua UMNO Teluk Intan turut meminta agar peneraju GLC dan GLIC dipilih dalam kalangan mereka berjiwa UMNO bagi memastikan program transformasi ekonomi yang dirancang dapat dirasai sepenuhnya oleh orang Melayu.

Bagaimanapun, kata beliau, segala perubahan dan program yang dirancang perlulah dilakukan bukan sahaja di peringkat tertinggi tetapi hingga ke akar umbi bagi memastikan ia memberi impak kepada pembangunan sosia-ekonomi Melayu.

“Syarikat-syarikat kerajaan kalau telah diberi kuasa, tumpu dengan apa yang digariskan. Kalau suruh buat rumah kedai untuk orang Melayu, jangan buat lain. Baru kita tak jadi parti juara kampung,” katanya.

Namun, tegas beliau, ahli UMNO perlu membantu setiap perancangan yang telah dilakukan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Selain itu, Idris turut meminta semua ahli UMNO menjadi ejen penerangan berhubung program kerajaan bagi membantu orang Melayu memahami aspirasi kerajaan.

“Kita akan pasti dibicara oleh rakyat pada PRU 13 tapi saya percaya kita menang perbicaraan ini sekiranya orang Melayu dapat disatukan dan bersatu di bawah panji UMNO,” katanya. - UM

No comments:

Post a Comment