My Add

Friday 2 December 2011

Lembaga Disiplin pantau PRU13

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Disember, 2011:
UMNO digesa menghidupkan semula Lembaga Disiplin parti bagi memantau para pemimpin dan ahlinya semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti bagi memastikan tindakan dapat diambil ke atas mereka yang melakukan kegiatan sabotaj terhadap parti.

Wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, selama ini Lembaga Disiplin hanya dilihat berperanan sewaktu pemilihan parti bagi memastikan tindak tanduk pemimpin dan ahli UMNO dapat dipantau.

Sedangkan, katanya, lembaga tersebut sepatutnya meluaskan peranan dalam memantau aktiviti ahli UMNO pada pilihan raya umum bagi memastikan kegiatan sabotaj seperti yang berlaku pada 2008 tidak berulang.

‘‘Dulu Lembaga Disiplin hanya ada ketika pemilihan parti tetapi selepas itu tidak ada dengar, kalau masih wujud ia perlu berperanan kerana pilihan raya umum 2008, ada ahli sabotaj termasuk menutup bilik gerakan.

‘‘Namun tiada tindakan diambil terhadap mereka yang melakukan sabotaj dalam pilihan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau diminta menjelaskan cadangannya yang dikemukakan semasa berucap membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Syed Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras menganggap perbuatan sabotaj tersebut adalah serius kerana pada pilihan raya umum 2008 terdapat ahli UMNO tidak mengundi calon Barisan Nasional (BN) dan pemimpin yang tidak mendapat jawatan dan diganti dengan orang lain bertindak mensabotaj parti.

‘‘Ini satu pengajaran kepada kita, jadi kita perlu membuat persediaan dari segenap sudut supaya tidak berlaku lagi kegiatan sabotaj dalam PRU13 nanti,” tegasnya.

Terdahulu, beliau membangkitkan kembali apa yang diperkatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar Presiden tentang tindakan pemimpin bahagian tertentu tidak mengagihkan peruntukan yang diberikan untuk kegiatan parti bagi menghadapi pilihan raya.

Sebaliknya, beliau menyatakan, peruntukan untuk Pergerakan Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri serta aktiviti bahagian itu disimpan bagi pemilihan parti.

Katanya, banyak laporan dibuat oleh ahli di bawah dan ada yang berjumpanya meminta agar memaklumkan kepada Ibu Pejabat supaya tindakan diambil ke atas bahagian yang tidak menurunkan peruntukan.

‘‘Kita hendak menang pilihan raya tetapi tidak mahu sesiapa sabotaj, kita harap ibu pejabat memainkan peranan ambil tindakan terhadap laporan yang dibuat oleh bahagian-bahagian supaya UMNO mendapat pemimpin yang dapat memegang amanah parti dan negara,” katanya. - UM

No comments:

Post a Comment