KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Disember, 2011:
MCA memberi jaminan akan terus bersama dengan UMNO di bawah panji Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, komitmen itu telah berlaku sejak pilihan raya pertama dan MCA serta parti komponen lain akan meneruskan kerjasama dengan UMNO kerana menerusinya BN dapat melangkah lebih jauh lagi.
"Kita juga bersedia untuk menghadapi PRU13 menerusi aktiviti turun padang mendekati dan mendengar permasalahan rakyat yang diadakan pada setiap hari.
"Kita hanya bekerja keras dan selebihnya terserah kepada rakyat untuk menilai kita," katanya kepada pemberita ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2011, di sini semalam.
Ditanya tentang keyakinannya bahawa BN akan merampas semula negeri di bawah pembangkang, Soi Lek tidak menolak kemungkinan ia akan berlaku.
Namun, katanya, ia terserah kepada kebijaksanaan pengundi kerana mereka boleh mengubah pilihan masing-masing pada setiap masa.
"Ia perlu disusuli dengan kerja keras dan tidak sesekali BN akan mengaku kalah kerana kalau kita berkhidmat dengan ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh, rakyat tahu mengenainya.
"Kita masih berpeluang dan akan terus memberikan cabaran kepada pembangkang," katanya. - UM
No comments:
Post a Comment