My Add

Saturday 3 December 2011

Orang muda mesti diberi peluang buktikan kemampuan: Puteri

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Disember, 2011: 
PERGERAKAN Puteri meminta pucuk pimpinan tertinggi UMNO supaya memberi ruang dan kepercayaan yang lebih kepada golongan muda untuk dipertimbangkan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang. 

Wakilnya, Wan Salwati Abdullah, berkata generasi muda mesti mendapat peluang secukupnya untuk membuktikan kebolehan mereka kerana sekiranya diketepikan tentu sekali bakat golongan berkenaan tidak akan berdepan ujian.

"Sikap berpuak-puak, cantas mencantas perlu dihentikan manakala sikap keterbukaan yang bukan dibuat-buat perlu wujud dan ditonjolkan ini kerana jika ditanya kepada generasi muda yang ada di dalam dewan ini sudah pasti akan bersetuju dengan kenyataan saya tadi, bahawasanya kami dari golongan muda kadang kala tidak diberi ruang atau diberi kepercayaan dan jika laju sikit melangkah, pancung awal-awal," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), seMALAM.

Sehubungan itu, beliau berkata, janganlah membiarkan UMNO menjadi seperti rumah yang reput dan rapuh. 

"Oleh itu, peremajaan, penjenamaan dan jangan lupa mempromosi UMNO semula perlulah dibuat secara total. 

"Inilah teori Puteri 2P 1M (Peremajaan, penjenamaan dan mempromosi). 

"Peremajaan dan penjenamaan semula UMNO amat penting dan perlu dibuat dari semua peringkat serta dipromosikan kepada generasi muda kerana generasi muda adalah antara oksigen bagi UMNO meneruskan kehidupan yang penuh mencabar ini. 

"Idea dan pandangan dari generasi muda perlu diambil kira dan diketengahkan. 

"Untuk memenangi hati generasi muda, UMNO perlu menyusun langkah yang lebih tersusun dan berkesan. Setiap program hendaklah berdasarkan citarasa generasi muda supaya mereka bersama dan menyertai kita," katanya. 

Selain itu, Wan Salwati berkata, pemikiran yang kalut, kuno atau cepat melatah perlu dihapuskan di kalangan orang UMNO. 

Beliau turut mendapat perhatian perwakilan kerana menyelitkan bait-bait pantun: 

Berkilau sungguh batu permata 

Permata bersinar semangat membara 

Permata parti srikandi negara 

Winnable candidate jadi taruhan 

PRU 13 bukan mainan 

Puteri bukan sekadar tempelan 

Hujahan Puteri jangan diperlekehkan 

PRU 13 bukan mainan Winnable candidate jadi sebutan 

Puteri sedia menerima arahan 

Bukan hanya mengejar jawatan 

PRU 12 bagai tsunami 

PRU 13 sedia dinanti 

Rampas kembali matlamat kami 

Itulah perjuangan Puteri sejati. 

Takkan berundur terus mara 

Itulah tekad kami semua 

Demi agama, bangsa dan negara 

Pada Allah dipohon jua 


No comments:

Post a Comment