My Add

Saturday 3 December 2011

PM mahu Kelab UMNO lebih inklusif

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mahu Kelab UMNO Luar Negara menjadi lebih terbuka, inklusif dan tidak hanya popular di kalangan ahli parti dan orang Melayu semata-mata. 

Pengerusi Jawatankuasa Biro Hal Ehwal Luar Negara dan Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata Presiden UMNO juga mahu mereka bersedia untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia di luar negara tanpa mengira kaum, sebaliknya menjadi duta kecil negara di perantauan.

"Itu adalah antara amanat penting yang disampaikan oleh Najib dalam pertemuan tertutup dengan wakil Kelab UMNO Luar Negara sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)di sini, hari ini," katanya kpada pemberita selepas pertemuan tersebut.

Ahmad Shabery berkata, dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Perdana Menteri turut menyarankan mereka supaya mempersiapkan diri dan minda kerana "dunia sekarang berdepan dengan "persaingan minda" dan siapa yang mempunyai idea yang menyerlah akan menang. 

"Justeru pelajar diingat supaya mempersiapkan kekuatan minda mereka dalam menghadapi apa sahaja rintangan, tidak hanya bersandar dengan parti, tetapi mesti mampu berhujah dan mengenengahkan diri serta mencari jalan terbaik sebagai penyelesai masalah," katanya. 

Seramai 65 pengerusi daripada keseluruhan 74 Kelab UMNO Luar Negara hadir pada pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri itu. 

Pengerusi Kelab UMNO Solo, Indonesia, Mohd Nazaluddin Mat Nazir, berkata amanat Perdana Menteri turut menyentuh kepentingan untuk anggota kelab membantu kerajaan menjelaskan agenda parti dan negara dengan tepat. 

"Perdana Menteri mahu kelab turut bertanggungjawab untuk membetulkan salah tanggapan sesetengah pihak, khususnya warga pelajar di luar negara mengenai parti dan kerajaan," katanya. 

Timbalan Pengerusi Kelab UMNO Kaherah, Mesir, Hafiz Hamzah, pula berkata pada pertemuan itu beliau mengemukakan saranan supaya pemimpin parti dan kerajaan lebih kerap mengunjungi Mesir untuk memberi penjelasan lebih tepat mengenai dasar kerajaan bagi menangkis tanggapan sinis dan prejudis terhadap kerajaan dan kelab ekoran dakyah yang disebarkan pembangkang. 

"Anggota Kelab dilabelkan pembangkang sebagai anjing UMNO. Setiap bulan pemimpin pembangkang akan datang dan bagi ceramah kepada bukan sahaja ahli (kelab) tetapi seluruh pelajar Malaysia termasuk mereka yang di bawah tajaan kerajaan," katanya. 

Terdahulu, Najib menghadiri jamuan makan tengah hari bersama-sama 400 perwakilan dan anggota UMNO Selangor. 

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment