My Add

Tuesday 27 December 2011

Pengikut Anwar perlu buka mata

KUALA LUMPUR, SELASA. 27 Disember, 2011:Ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta melihat kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara nyata dan terbuka, tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim berkata, mereka perlu buang sikap terlalu taksub dan percaya pada setiap perkataan yang keluar daripada mulut Penasihat PKR itu.

Pada masa yang sama, jelasnya, ahli-ahli PKR tidak perlu bimbang sekiranya keputusan mahkamah kelak tidak menyebelahi Anwar kerana bukan beliau yang menentukan kehidupan pengikut parti itu.

"Contoh terdekat adalah saya sendiri, saya tinggalkan perjuangan parti itu kerana menyedari PKR bukannya berjuang menegakkan keadilan tetapi hanya mahu membantu Anwar membalas dendam serta lepas daripada kesalahannya.

"Oleh itu, saya benar-benar seru ahli PKR supaya fikir sedalam-dalamnya sebelum mengikut Anwar. Buka mata dan jangan tidur kerana kalau tersilap langkah boleh jejaskan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini smalam.

Beliau mengulas tindakan PKR yang dikatakan mula melancarkan Kempen Bebaskan Anwar 901 dan merancang pelbagai aktiviti lain termasuk demonstrasi jalanan menjelang keputusan perbicaraan kes liwat Anwar pada 9 Januari ini.

Dalam pada itu, Zahrain turut meminta pasukan keselamatan khususnya pihak polis lebih berwaspada kerana berdasarkan maklumat yang diterima, PKR merancang mengadakan kacau-bilau pada hari tersebut.

Sementara itu, bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR, Nordin Ahmad yang pernah bersama Anwar pada 1998 meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan setiap pidato simpati Ketua Pembangkang itu kerana semuanya adalah penipuan belaka.

Beliau percaya, jika rancangan kempen itu menjadi kenyataan, ia akan menjadi reformasi paling buruk berbanding 1998 kerana dikatakan akan disertai berpuluh ribu pengikutnya termasuk kumpulan mahasiswa, kumpulan penunjuk perasaan Indonesia selain ahli serta penyokong DAP dan Pas.

''Sehubungan itu, orang ramai khususnya ahli-ahli PKR jangan lagi tertipu dengan Anwar. Lihatlah tindakannya sebelum ini yang memburuk-burukkan Malaysia demi kepentingan peribadinya,'' katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong meminta orang ramai fikir sedalam-dalamnya sebelum menyertai segala bentuk tindakan yang bakal dianjurkan oleh PKR.

Jelasnya, masyarakat perlu memberi peluang kepada badan kehakiman untuk membuat keputusan dengan adil tanpa sebarang tekanan dan gangguan politik.

"Sampai bila kita hendak main politik, semua perkara hendak dipolitikkan. Jangan jejaskan keharmonian dan keamanan negara kerana yang penting adalah untuk kita bangunkan negara supaya dihormati masyarakat luar," kata beliau. - UM

No comments:

Post a Comment