My Add

Tuesday 27 December 2011

Tindakan Mustafa Ali ditegur

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Disember, 2011: Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali diminta agar tidak melabelkan pemimpin atau ahli parti itu yang cenderung memperjuangkan kedudukan orang Melayu mempunyai kaitan dengan UMNO.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abd. Rahman berkata, Mustafa seharusnya lebih rasional dalam menangani kemelut yang melanda parti itu.

"Beliau tidak sepatutnya mengaitkan ahli-ahli atau pemimpin Pas dengan UMNO apabila mereka cenderung mempertahankan kedudukan orang Melayu dan agama Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Beliau mengulas tindakan Mustafa yang mengaitkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dengan agenda UMNO.

Sementara itu, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail menyeru, kedua-dua pemimpin Pas itu supaya berunding bagi menyelesaikan persengketaan di antara mereka.

"Pertelingkahan mereka itu hanya akan membawa kerugian dan memberi kesan kepada perpaduan bangsa dan agama.

"Sepatutnya, jika ada kerjasama yang bermatlamat memperjuangkan agama dan bangsa, ia seharusnya disokong kerana itu akan memberikan manfaat besar dalam membentuk keharmonian negara," ujarnya.

Katanya, kemelut berkenaan seharusnya diselesaikan agar tidak berpanjangan kerana ia akan merugikan orang Melayu dan umat Islam sendiri ibarat 'menang jadi arang, kalah jadi abu'.

Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Profesor Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, apa yang berlaku dalam Pas memalukan umat Islam.

"Sebagai parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, tidak sepatutnya persengketaan itu berlaku memandangkan Islam mengajar umatnya agar bersatu dalam mencapai perpaduan ummah," tegasnya.

Beliau juga menyifatkan perjuangan Pas kini semakin bercelaru dan terpesong daripada matlamat asal mereka untuk memperjuangkan Islam. - UM

No comments:

Post a Comment