My Add

Wednesday 14 December 2011

Siar imej kematian Gaddafi langgar etika: Presiden OANA

BANGKOK, RABU, 14 Disember, 2011:
PERBUATAN media antarabangsa menyiarkan imej pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, ditembak dan mayatnya diseret serta dipertontonkan kepada orang ramai, melanggar etika kewartawanan, kata Presiden Pertubuhan Agensi Berita Asia Pasifik (OANA), Kemal Ozturk. 

"Setiap manusia, walaupun dia seorang yang zalim atau diktator, harus dihormati di saat kematiannya," kata beliau pada perasmian mesyuarat dua hari OANA dan majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-50 penubuhannya di sini, hari ini.

Perbuatan media menyiarkan gambar yang ngeri dan keterlaluan sebenarnya tidak membawa sebarang manfaat kepada orang ramai, katanya.

Ozturk, yang juga Ketua Pengarah agensi berita Turki, Anadolu, berkata bahawa selepas insiden itu, beliau menghantar surat kepada semua anggota OANA selain kepada anggota Perikatan Agensi Berita Eropah (EANA) dan Persekutuan Agensi Berita Arab (FANA) bagi menarik perhatian mereka kepada kesalahan melanggar etika itu. 

Katanya, beliau merujuk kepada penyiaran video dan gambar kematian Gaddafi yang dirakam menerusi telefon bimbit dan pada mulanya dimuat naik dalam media sosial sebelum disiarkan menerusi televisyen di seluruh dunia, bagi menunjukkan bahawa media sosial menghadapi masalah walaupun ianya satu alat yang hebat untuk mengumpul dan menyebar berita. 

"Ia satu medan di mana terdapat kepalsuan, fitnah, salah maklumat serta gambar tidak beretika. Mereka yang berada di platform sosial ini jarang mengamalkan etika dan garis panduan media," kata Ozturk. 

Beliau berkata, walaupun beberapa ikon terkenal dalam kalangan media Barat sanggup menyiarkan gambar yang ngeri, apa yang lebih penting dan berkesan ialah bagi agensi berita di rantau ini menyebarkan mesej supaya etika kewartawanan sentiasa diamalkan. 

Ozturk berkata, perubahan besar yang berlaku dalam industri media tidak bermakna agensi berita sudah tidak lagi berkesan. 

"Demi keamanan di Asia Pasifik dan di dunia, kita harus sentiasa ingatkan editor kita supaya peka terhadap berita dan imej yang boleh menyebabkan timbulnya kemarahan dan permusuhan sesama manusia," katanya. 

Menteri Luar Thailand, Dr Surapong Tovichakchaikul ketika merasmikan mesyuarat itu, berkata OANA yang dianggotai 44 agensi dari 35 negara menjadi sebuah badan utama dalam menyiarkan berita dan maklumat di rantau ini selain membantu memupuk persefahaman antara negara dan rakyat sejak ianya ditubuhkan di Bangkok 50 tahun lalu. 

Peranan pertubuhan itu menjadi semakin penting kerana pada masa ini tumpuan dalam bidang politik dan ekonomi semakin beralih ke rantau ini, katanya. 

Seramai 31 pemimpin agensi berita menghadiri mesyuarat itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment