My Add

Saturday 24 December 2011

Perak sasar wujud kedai tukar di setiap DUN pada 2012

BAGAN SERAI, SABTU, 24 Disember, 2011: Perak menyasarkan untuk mempunyai 59 buah kedai runcit di bawah Projek Transformasi Kedai Runcit atau Tukar menjelang akhir tahun depan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Katanya, setakat ini, terdapat 23 buah kedai Tukar di Perak.

"Saya menyasarkan supaya kita dapat meningkatkan jumlah ini kepada 59 buah tahun depan iaitu sekurang-kurangnya satu kedai Tukar di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) Bagan Serai di sini hari ini.

Tukar merupakan inisiatif kerajaan Pusat di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bertujuan untuk memodenkan kedai runcit tradisional bagi meningkatkan daya saing dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang semakin kompetitif masa kini.

Baru-baru ini juga, kerajaan mengumumkan akan memperluaskan jualan produk harian pengguna KR1M ke kedai-kedai di bawah program Tukar, bagi membolehkan lebih ramai pengguna menikmati barangan keperluan asas pada harga yang lebih rendah.

Selain di Bagan Serai, empat lagi KR1M yang beroperasi di Perak ialah di Parit Buntar, Teluk Intan, Bidor dan Manjoi. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment