My Add

Saturday 24 December 2011

Orang Melayu perlu iktiraf budaya, adat resam

Oleh ROKIAH ABDULLAH
PULAU PINANG, SABTU, 24 Disember, 2011:Orang Melayu khususnya generasi muda perlu mengiktiraf dan menjadikan adat resam serta budaya berbudi yang diwariskan daripada generasi terdahulu sebagai prinsip hidup kerana ia mampu memperkasakan golongan berkenaan.

Naib Canselor Universiti Antarabangsa Al-Bukhary, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, ia kerana elemen berkenaan mampu membentuk satu landasan hidup unggul dan menjamin masyarakat Melayu lebih lestari di samping mengelakkan perpecahan.

Tegasnya, golongan muda juga seharusnya sedar dan tidak lagi terikut-ikut budaya Barat kerana kesudahannya, krisis moral yang dicipta di sana akan turut dibawa masuk malahan kesannya akan menjadi lebih teruk kerana tahap pemikiran dan pendidikan rakyat negara ini masih belum terbuka.

``Isu agama dan bahasa sering kita perkata dan perdebatkan, tetapi apabila menyebut tentang adat resam dan budaya, ia seolah-olah dipinggirkan dan ini satu kerugian yang amat besar kepada kita.

``Adat resam dan budaya ini mampu memperkasakan bangsa dan tamadun kita kerana ia umpama pakaian dan perhiasan harian masyarakat Melayu, tanpanya orang Melayu akan lemah dan mudah diperkotak-katikkan.

``Jadi tidak hairanlah masyarakat Melayu dahulu lebih lestari berbanding sekarang kerana elemen berkenaan dijadikan tonggak hidup sehingga mereka dihormati dan disanjung tinggi,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Memperkasakan Ikatan Melayu, Menjamin Kelestarian Hari Esok pada Kongres Perpaduan Melayu anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Ikatan Kelab-Kelab Melayu Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini. - UM

No comments:

Post a Comment