My Add

Tuesday 27 December 2011

Perkhidmatan Komuter lebih selesa mulai 2012


PENGAWAL keselamatan meronda berhampiran gerabak baru yang masih dalam ujian akhir. Khidmat KTM Komuter akan lebih selesa dengan penggunaan 38 set tren enam gerabak (SCS) yang akan mula beroperasi Februari depan. - Foto Nik Hariff Hassan


BATU GAJAH, SELASA, 27 Disember, 2011: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka menyediakan perkhidmatan komuter lebih baik dan selesa bagi pengguna di Lembah Klang apabila empat daripada 38 set tren enam gerabak (SCS) mula beroperasi Februari depan.

Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan berkata, ia sekali gus dapat mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh perkhidmatan sedia ada yang menggunakan set tren tiga gerabak (EMU) seperti kelewatan, kekurangan gerabak dan sistem tergendala yang menjejaskan keberkesanan perkhidmatannya.

"Kita mempunyai 25 set EMU yang setengah daripadanya perlu dibaik pulih yang mana ia perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Sekarang kita tidak boleh baik pulih set EMU kerana tidak mempunyai set tren yang mencukupi (bagi menampung penggunaan) sebab itu, kadang-kala perkhidmatan komuter sering tergendala," katanya pada taklimat kepada media di Kompleks KTMB di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa sekarang KTMB tidak berupaya untuk memendekkan waktu kekerapan perkhidmatan komuter kerana tidak mempunyai bilangan set tren yang mencukupi bagi menampung penggunaan.

Katanya lagi, KTMB akan meningkatkan keberkesanan operasi komuter dengan memendekkan waktu kekerapan perkhidmatan apabila mempunyai bilangan set tren yang mencukupi dengan ketibaan SCS tahun depan iaitu kekerapan perkhidmatan daripada 30 minit kepada hanya 15 minit pada waktu puncak.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, walaupun mengikut perancangan awal KTMB menawarkan perkhidmatan menggunakan set SCS pada tahun ini, namun KTMB terpaksa menundanya bagi menjamin keselamatan keseluruhan operasi perkhidmatan itu.

Beliau berkata, setiap set tren yang mampu membawa sehingga 1,000 pengguna pada satu hala perjalanan itu perlu mengikut spesifikasi, peruntukan undang-undang dan standard antarabangsa dalam usaha menawarkan dan memperbaiki perkhidmatan komuter kepada pengguna.

Katanya lagi, sehingga hari ini, KTMB telah menerima sembilan daripada 38 set SCS dan empat lagi dijangka tiba pada Januari ini manakala baki 25 set akan diterima secara berperingkat sehingga Jun 2012.

"Kesemua 38 set tren SCS dijangka akan dapat berada dalam perkhidmatan mulai Jun 2012 dan waktu kekerapan akan dipercepatkan lagi kepada 10 minit setiap ketibaan dengan adanya 63 unit tren bagi perkhidmatan komuter iaitu 38 set SCS dan 25 set EMU," ujarnya.

Beliau berkata, setiap satu daripada empat set SCS yang diterima KTMB kini dalam proses akhir pengujian dan pentaulihan yang dilaksanakan oleh jurutera dari syarikat pengeluar CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co (ZELC), jurutera KTMB serta diselia oleh SPAD. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment