My Add

Tuesday 27 December 2011

Pertahan perpaduan kaum - TPM

MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan orang ramai sambil diiringi isteri, Noorainee Abdul Rahman pada majlis Rumah Terbuka Krismas 2011 di SMK Tinggi Kajang, Selangor, semalam. Turut kelihatan Dr. Rais Yatim dan isteri, Masnah Rais. - UTUSAN/IRWAN MAJID

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Disember, 2011: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia mengukuh dan mempertahankan perpaduan antara kaum sebagai asas untuk kestabilan politik ke arah pembinaan negara maju pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tidak banyak negara di dunia yang terbina daripada kepelbagaian kaum, keturunan dan agama yang mencapai kejayaan luar biasa seperti yang dikecapi oleh Malaysia.

"Kerana itu saya cukup yakin dan percaya jika perpaduan yang menjadi teras kepada kemerdekaan negara sejak 54 tahun ini dipertahankan, lebih banyak kemajuan boleh kita capai pada masa depan.

"Justeru saya berharap janganlah ada di kalangan kita pihak-pihak yang cuba meruntuh dan meleraikan asas-asas perpaduan yang telah dibina sejak sekian lama," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2011 di Kajang, Selangor semalam.

Majlis sambutan Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2011 anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu dihadiri oleh kira-kira 20,000 orang daripada pelbagai kaum dan agama.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim serta isteri, Datin Seri Masnah Rais serta dua timbalan menterinya, Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz dan Datuk Joseph Salang Gandum.

Menurut Muhyiddin, kerajaan dalam memastikan perpaduan di kalangan rakyat terus berkekalan akan meneruskan dasar-dasar yang memberikan keuntungan kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau mengambil contoh Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini seperti bantuan RM500 kepada keluarga di bawah pendapatan RM3,000 serta bantuan permulaan sekolah yang memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

"Dasar-dasar seperti ini menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian untuk memastikan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama diberi layanan yang sama dari sudut sosial dan ekonomi," katanya.

Dalam masa sama, Muhyiddin turut melahirkan rasa bangga atas kehadiran kira-kira 20,000 rakyat pelbagai kaum dan agama yang bersama-sama memeriahkan sambutan rumah terbuka Krismas kali ini.

Kata beliau, kehadiran begitu ramai pengunjung itu merupakan manifestasi sokongan rakyat terhadap kepimpinan negara.

"Ia juga merupakan satu petanda bahawa kita secara bersama-sama dapat membina masa depan negara yang lebih baik pada masa depan," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment