My Add

Wednesday 28 December 2011

Polis jejaki lelaki berkaitan kes bunuh tikam 15 kali

SHAH ALAM, RABU, 28 Disember, 2011: Polis sedang menjejaki seorang lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan kes bunuh seorang wanita yang ditemui dengan lebih 15 kesan tikaman di rumah sewanya pada Rabu lalu. 

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu termasuk motif serta hubungan lelaki tersebut dengan mangsa.

"Polis ada 'something ongoing', kita masih menjalankan siasatan terperinci," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata, empat individu sudah dipanggil memberikan keterangan termasuk rakan-rakan dan anggota keluarga mangsa. 

Katanya, berdasarkan bedah siasat, terdapat 36 kesan kecederaan pada tubuh mangsa termasuk luka-luka dipercayai akibat pergelutan dengan suspek. 

Rozana Mohd Yusak, 35, seorang kerani bank, ditemui berlumuran darah dengan 15 tikaman di bahagian belakang badan di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong awal pagi Rabu lalu. 

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur dalam kejadian 1.30 pagi itu. 
Sebelum itu, Rozana dilihat oleh seorang pekerja restoran di kawasan berhampiran seakan-akan meminta pertolongan di tingkap rumahnya. 

Sementara itu, Tun Hisan berkata polis menahan empat lelaki kelmarin yang dipercayai menjadi dalang kes pecah rumah dan bakar di Semenyih serta merampas beberapa barangan curi yang disimpan seorang daripada mereka. 

Katanya, mereka berusia antara 16 dan 34 tahun dan tiga daripada suspek positif dadah jenis syabu dan heroin. 

"Suspek yang berusia 34 tahun dan menganggur mempunyai sembilan rekod jenayah lampau ditahan bersama barang dipercayai barang curi seperti jam tangan, parang dan kamera. 

"Kita turut merampas sebilah pedang perhiasan yang biasanya digunakan untuk upacara kongsi gelap namun masih menyiasat sama ada ia milik suspek ataupun dicuri," katanya. 

Mengulas laporan akhbar mengenai kes samun dan bakar di Kajang, Semenyih dan Beranang, Tun Hisan berkata polis menerima 13 laporan sejak 28 Mei lalu dan sudah menahan 21 suspek. 

Katanya, semua mereka sudah dibebaskan selepas disoal siasat kerana tiada bukti kukuh. 

"Saya minta media supaya melaporkan sesuatu yang lebih tepat, laporan dalam sebuah akhbar yang menyebut samun dan bakar adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan panik seolah-olah ia kejadian yang tidak terkawal. 

"Jangan timbulkan kerisauan kepada orang ramai, malah ia bukan kejadian samun tetapi pecah rumah dan bakar di beberapa rumah yang tidak berpenghuni," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment