My Add

Sunday, 1 January 2012

Produk IKS di pasar raya, stesen minyak

ALWI Abdul Hamid (kanan) bertanya sesuatu kepada peserta pengusaha IKS selepas merasmikan program Pemadanan Perniagaan di Kompleks LKPIM Pahang, Kuantan.

KUANTAN, AHAD, 01 Januari, 2012: Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) digesa merebut peluang disediakan oleh kerajaan dalam memasarkan produk masing-masing ke pasar raya dan stesen minyak tempatan di negeri itu.

Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang,Alwi Abdul Hamid berkata, tindakan itu secara tidak langsung membantu meluaskan pasaran produk masing-masing sekali gus meningkatkan lagi hasil jualan mereka.

Menurutnya, kementerian juga berperanan untuk membantu pengusaha terbabit menerusi program pemadanan perniagaan antara pengusaha IKS di negeri ini yang julung kali dianjurkan di Kompleks Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Pahang di sini baru-baru ini.

"Program yang julung kali diadakan itu mendapat penyertaan seramai 14 pengusaha IKS dari negeri ini dan 17 pasar raya serta stesen minyak.

"Ia memberikan peluang kepada kedua-dua pihak mencari dan memasarkan produk terpilih di premis masing-masing secara langsung dengan berjumpa serta melihat sendiri produk yang diusahakan," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, program seperti itu akan diadakan dengan lebih kerap pada masa depan sekali gus memberi ruang dan peluang kepada pihak terbabit.

Sementara itu, bagi seorang pengusaha halwa dan kordial kundur Sheikh Ismail Abdullah dari Peramu Jaya, Pekan, berkata, dia mendapat peluang terbaik meluaskan pasaran produknya menerusi program itu.

Menurutnya, dia mendapat tawaran untuk memasarkan produknya di sebuah pasar raya di Bentong, Lipis dan Jengka serta bersyukur kerana tidak melepaskan peluang menyertainya.

"Cuma saya berharap ia akan diadakan lebih kerap untuk masa akan datang dan pemilihan masa yang sesuai untuk membolehkan lebih ramai pengusaha serta premis pasar raya dan stesen minyak dapat menyertainya," katanya.

Bagi pengusaha madu lebah tualang dari Mentakab, Mohd. Napi Ismail, turut berpandangan supaya program tersebut diadakan lebih kerap selain mengakui turut mendapat peluang baru selepas menyertainya. - MM

No comments:

Post a Comment