Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
MARAN, AHAD, 01 Januari, 2012: Pemberian bonus insentif produktiviti kepada peneroka merupakan hadiah bermakna kepada golongan itu khususnya bagi kalangan 15,000 peneroka di Felda Wilayah Jengka di sini.
Bonus berkenaan dapat meringankan beban peneroka dalam menguruskan hal keperluan khususnya bagi menyiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.
Timbalan Pengerusi Gabungan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar,60, berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mempamerkan komitmen dan keikhlasan membantu masyarakat peneroka sejak beberapa tahun lalu.
"Bonus insentif antara RM400 dan RM1,200 yang dinikmati oleh warga Felda membuktikan kerajaan tidak mengabaikan kebajikan golongan berkenaan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Pada 23 Disember lalu, Perdana Menteri mengumumkan Felda akan membayar bonus insentif produktiviti antara RM400 dan RM1,200 kepada peneroka tanah rancangan itu pada tahun ini, kadar yang sama seperti tahun lepas.
Pembayaran bonus insentif berjumlah RM102.6 juta itu yang bergantung kepada penghantaran hasil, melibatkan 95,949 daripada 112,635 peneroka Felda bagi menghargai sumbangan mereka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil melalui Felda.
Bagi Ketua Peneroka Felda Jengka 18, Samad Samah,59, pemberian itu sangat bermakna kepada ketua isi rumah berbelanja untuk keperluan persekolahan anak-anak tahun depan.
Katanya, rakan peneroka perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri yang telah berusaha untuk memakmur negara serta rakyat.
Ketua Peneroka Felda Kota Gelanggi 1, Abdul Rahman Ghani,48, mahu masyarakat peneroka Felda harus berfikir secara rasional kerana tiada negara di dunia yang begitu ambil berat tentang kebajikan rakyat.
"Pemberian itu berdasarkan jumlah hasil yang dihantar ke kilang membolehkan peneroka turut mendapat bonus seperti juga penjawat awam,'' katanya.
Ketua Peneroka Felda Jengka 3, Zainuddin Jantan, 58, berpendapat bahawa pemberian berkenaan dapat menampung tambahan kewangan untuk membeli pelbagai keperluan.
Pendapat itu disokong rakannya, Abdul Aziz Rashidi, 58, yang menyifatkan tohmahan pembangkang bahawa kerajaan tidak menjaga kebajikan adalah tidak benar sama sekali.
No comments:
Post a Comment