My Add

Sunday 11 December 2011

Ambil insurans kesihatan sebelum masuk ke Thailand

SONGKHLA, AHAD, 11 Disember, 2011:
RAKYAT Malaysia yang memasuki Thailand dinasihati mengambil insurans kesihatan bagi mengelak risiko dikenakan caj yang tinggi apabila menerima rawatan di negara gajah putih itu. 

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan, berkata selama ini ramai rakyat Malaysia mengambil risiko dengan memasuki Thailand tanpa mengambil insurans kesihatan.

Bercakap kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerjasama Sempadan Perlis, Ahmad Bakri Ali di sini, hari ini, beliau berharap rakyat Malaysia tidak bersikap ambil mudah terhadap soal kesihatan mereka apabila berada di Thailand.

Katanya, ada kes seorang rakyat Malaysia dikenakan caj rawatan perubatan sehingga lebih RM90,000 selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Thailand akibat kemalangan tidak lama dulu. 

"Mereka minta bantuan pejabat konsulat untuk menyelesaikan tuntutan kos itu tapi kami tidak dapat membantu bab kewangan seperti itu," katanya. 

Mohd Aini berkata, ada yang menganggap memasuki Thailand hanya memadai dengan menyediakan dokumen perjalanan atau insurans kenderaan tetapi mereka jarang memikirkan kemungkinan perlu menjalani rawatan di hospital. 

Beliau berkata, caj rawatan di hospital di luar negara adalah tanggungjawab individu dan sebagai persediaan mereka perlu mendapatkan insurans kesihatan sebelum melawat negara lain.

Katanya, jumlah rakyat asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia di Thailand juga banyak tetapi bukan semua kes perkahwinan dapat didaftarkan di pejabat Konsul Jeneral. 

Menurutnya, pihaknya tidak dapat mendaftar perkahwinan yang meragukan dan sebagai contoh ada lelaki warga asing datang terus dari negara kelahirannya untuk berkahwin dengan wanita Malaysia di Thailand. 

Sementara itu, Ahmad Bakri berkata, Perlis dan wilayah selatan Thailand terutama Songkhla dan Satun saling menyuburkan hubungan silatulrahim melalui pelbagai kegiatan dua hala. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment