My Add

Saturday 3 December 2011

Rasuah: Perkasa sokong SPRM diberi kuasa

PASIR MAS, SABTU, 03 Disember, 2011: PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong cadangan Timbalan Presiden Transparency International (TI) Malaysia, Datuk Mohamad Ali Hasan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa penuh untuk mendakwa kes rasuah bagi memastikan tiada kes 'ditolak' oleh Pejabat Peguam Negara.

Malah Presidennya, Datuk Ibrahim Ali turut berpendapat kuasa yang sama juga wajar diberikan kepada agensi penguat kuasa yang lain seperti polis dan Kastam Diraja Malaysia.

"Sebenarnya cadangan ini telah saya utarakan pada sidang Dewan Rakyat ketika perbahasan peringkat dasar. Banyak kali saya cadang supaya SPRM diberi kuasa penuh untuk membawa pendakwaan termasuk dalam resolusi mesyuarat agung kedua Perkasa baru-baru ini.

"Sekarang segala pendakwaan dibuat oleh pejabat Peguam Negara. Apabila siasatan selesai dan dibawa ke Pejabat Peguam Negara dan didapati tiada prima facie, maka ia ditolak. Jadi, banyak rungutan dan tuduhan dibuat bahawa tindakan SPRM dan polis tidak berkesan sedangkan mereka telah menjalankan tugas," katanya selepas majlis penyampaian bantuan banjir di Sekolah Kebangsaan Gelam, di sini semalam.

Pada masa ini, hanya Peguam Negara diberi kuasa penuh untuk menentukan sama ada sesuatu kes itu perlu dibuat pendakwaan di mahkamah atau sebaliknya.

Menurut Ibrahim, jika cadangan itu dilaksanakan beliau percaya nama Malaysia akan meningkat dan rasuah akan berkurangan sekali gus menghantar mesej psikologi yang cukup kuat kepada semua pihak untuk memerangi gejala itu.

"Bila ada tindakan di mahkamah baru beri kesedaran. Soal ada kes atau tidak biar mahkamah tentukan, soal ada orang kata dia tidak bersalah dan difitnah biar dia masuk dalam mahkamah untuk bersihkan," katanya.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, SPRM juga perlu diberi kuasa sepenuhnya untuk menyiasat mana-mana agensi tanpa ada sebarang sekatan.

"Ada di antara agensi yang SPRM tidak boleh masuk untuk siasat kecuali dipanggil seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC).

"Sebagai contoh, Pengerusi SC ialah Tan Sri Zarinah Anwar manakala suaminya menjadi pengerusi beberapa syarikat. Kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas jual beli saham adalah di bawah SC, jadi ini akan menimbulkan persepsi negatif sekiranya SPRM tidak boleh masuk untuk menjalankan siasatan," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment