My Add

Saturday 3 December 2011

Semenanjung bergelap jika gagal siap pencawang

KUALA LUMPUR SABTU, O3 Disember, 2011: BEB ERAPA negeri di Semenanjung termasuk Kuala Lumpur bakal ‘bergelap’ sekitar Mei tahun depan jika Tenaga Nasional Berhad (TNB) gagal menyiapkan projek ‘Central Area Reinforcement’ (CAR) melibatkan pembinaan menara pencawang elektrik sepanjang 60 kilometer.

Projek bernilai RM300 juta yang dimulakan sekitar 2005 itu bagaimanapun terhenti sejak empat tahun lalu pada baki pembinaan sepanjang satu kilometer ekoran bantahan penduduk Kampung Sungai Terentang di Rawang terhadap projek berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi TNB, Datuk Ir. Azman Mohd. berkata, walaupun terdapat keputusan Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada TNB, pihaknya masih berhadapan dengan ‘tentangan’ penduduk.

Malah, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut mengeluarkan notis kepada TNB untuk menghentikan projek.

“Ekoran itu, selepas beberapa kali TNB mengadakan pertemuan dengan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), kerajaan negeri memaklumkan bahawa konsultan dari New Zealand telah dilantik pada awal September lalu untuk menyediakan kajian dan laporan ke atas cadangan laluan asal TNB dan laluan alternatif yang diusulkan penduduk.

“Kerajaan negeri meminta TNB menangguh projek itu sehingga kajian itu siap. Namun, sehingga akhir bulan lalu, TNB masih belum menerima apa-apa maklum balas.

“TNB kemudiannya membuat keputusan untuk menyambung semula kerja-kerja di kampung berkenaan semalam, tetapi pihak MPS mengeluarkan notis arahan supaya ia dihentikan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat TNB di Jalan Bangsar dekat sini, semalam.

Projek CAR bertujuan menyalurkan bekalan elektrik dari stesen-stesen janakuasa di Perak ke kawasan tengah Semenanjung untuk mengurangkan beban di stesen bekalan elektrik sedia ada.

Ia merupakan langkah susulan TNB ekoran gangguan bekalan elektrik serius yang melibatkan kawasan tengah Semenanjung hingga ke selatan pada 13 Januari 2005.

Azman berkata, pihaknya berharap MPS dan penduduk setempat memahami akan keperluan TNB menyiapkan projek itu bagi mengelak kejadian pada 2005 berulang.

“Kita sudah menawarkan pampasan sebanyak RM10.4 juta kepada penduduk. Lagipun, projek CAR yang melalui kampung tersebut menggunakan kawasan rentis sedia ada TNB yang wujud sejak 1960-an,’’ ujarnya.

No comments:

Post a Comment