My Add

Saturday 24 December 2011

Road Tour Jom Kitar Semula 1Malaysia dekati 50,000 rakyat

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
ALOR SETAR, 24 Disemberm 2011: Program Road Tour Jom Kitar Semula 1Malaysia berjaya mendekati dan mendidik secara bersemuka kira-kira 50,000 penduduk tentang kepentingan kitar semula hanya dalam tempoh seminggu.

Program anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) yang berlangsung sejak 18 Disember lalu dan berakhir hari ini itu turut disertai kakitangan daripada tiga syarikat konsesi iaitu Environment Idaman Sdn. Bhd., Alam Flora Sdn. Bhd. dan SWM Environment Sdn. Bhd.

Pengarah Bahagian Korporat dan Sumber Manusia PPSPPA, Asri Ama berkata, konvoi melibatkan 30 kenderaan itu bergerak ke seluruh Semenanjung kecuali Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Katanya, kakitangan PPSPPA dan syarikat konsesi akan bertemu dan mendidik masyarakat tentang kepentingan kitar semula di setiap hentian ditetapkan sepanjang konvoi.

"Kita mahu didik masyarakat tentang kepentingan dan proses kitar semula selaras dengan sasaran kitar semula sebanyak 22 peratus menjelang 2020," katanya kepada pemberita ketika menyertai konvoi di Hentian Sebelah Lebuh Raya Utara Selatan di Hutan Kampung di sini hari ini.

Menurut Asri, pihaknya dengan kerjasama tiga syarikat konsesi terlibat juga menyebarkan maklumat kepada orang ramai tentang perkhidmatan yang dijalankan.

"Kita edarkan nombor talian bebas tol 1-800-88-7472 untuk orang ramai membuat aduan berkaitan sampah, longkang dan rumput," ujarnya.

Beliau berkata, kesedaran tentang amalan kitar semula di negara ini semakin meningkat apabila jumlah vendor kitar semula di setiap negeri bertambah dari hari ke hari.

"Sekarang sudah ada lebih 3,000 vendor kitar semula di seluruh negara dan ia menunjukkan amalan kitar semula di negara ini kian meningkat," tambahnya.

Perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh tiga syarikat konsesi berkenaan dijalankan di seluruh Semenanjung kecuali Selangor, Perak dan Pulau Pinang kerana negeri-negeri itu tidak terbabit dengan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). - UM

No comments:

Post a Comment