My Add

Wednesday 28 December 2011

Sampah: Rakyat mahu Selangor 'dibersihkan' segera

KUALA LUMPUR, RABU, 28 Disember, 2011: Rakyat Selangor mahu isu sampah yang menyebabkan negeri itu dilihat semakin kotor akibat kegagalan kontraktor melaksanakan tugas dengan berkesan diselesaikan segera secara profesional tanpa dipolitikkan.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob Georgeberkata, hasil soal selidik yang dilakukan oleh persatuan itu November lalu mendapati lebih 300 responden sudah bosan dengan sikap menuding jari antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kontraktor mengenai masalah tersebut.

"Rakyat mahu kerajaan negeri mengutamakan hak mereka kerana pengguna telah membayar perkhidmatan itu.

"Mereka mendesak agar isu ini diselesaikan dengan cara profesional, bukan asyik bergaduh sesama mereka disebabkan hal politik masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai masalah longgokan sampah tidak diangkat yang menjadi aduan terbanyak diterima oleh PBT negeri itu selepas hampir dua bulan kerajaan negeri menamatkan perkhidmatan Alam Flora.

Menurutnya, lebih malang apabila ketiga-tiga pihak berkenaan seolah-olah tidak bekerjasama dan tidak berhubung antara satu sama lain.

"Isu ini berpunca daripada soal pelaksanaan tugas, namun kini apa yang tangan kanan buat, tangan kiri tidak tahu, akibatnya timbul macam-macam masalah lagi," ujarnya.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan negeri agar menubuhkan sebuah unit khas yang diwakili pelbagai pihak bagi memantau kerja-kerja yang dilakukan kontraktor terpilih.

Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd. Yusof Abdul Rahmanpula berkata, Kerajaan Negeri Selangor seharusnya menyediakan perkhidmatan yang lebih baik selepas menamatkan kontrak Alam Flora yang dikatakan gagal melaksanakan tugas.

"Tetapi apa yang berlaku keadaan semakin teruk. Mungkin kontraktor yang dilantik tidak mempunyai pengalaman melakukan kerja-kerja ini. Malah, penduduk juga tidak disediakan dengan kemudahan talian aduan berpusat seperti yang ada sebelum ini, jadi sukar bagi mereka untuk mengadu masalah," ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Antara Gapi, Roshasni Marjumat berkata, berbanding kontraktor dahulu, jadual memungut sampah yang disediakan semakin menyukarkan penduduk.

"Sudah beberapa aduan dibuat kerana mereka memungut sampah pada awal subuh hingga tidak sempat membuang sampah, akhirnya sampah terpaksa disimpan dua hingga tiga hari sebelum tiba giliran memungut seterusnya," katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Sentosa 3, Meor Shamsudin Meor Hassan pula berkata, lori yang digunakan kontraktor baru agak daif dan tidak bersesuaian.

"Mereka hanya menggunakan lori kecil tiga tan dan selalu meninggalkan sisa sampah bertaburan di jalan raya," ujarnya. - UM

No comments:

Post a Comment