My Add

Wednesday 28 December 2011

Kes rasuah Iskandar RM1.6 juta, ramai individu akan didakwa

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
KUALA LUMPUR, RABU, 28 Disember, 2011: Lebih ramai individu akan didakwa selepas seorang ahli perniagaan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM1.6 juta tahun lalu dalam skandal projek mega Iskandar Malaysia.

Individu itu termasuk seorang kenamaan bergelar Datuk yang berpengaruh selain beberapa pegawai kanan Iskandar Investment Berhad (IIB) dan individu yang disyaki berperanan sebagai orang tengah.

Kesemua individu berusia 40-an yang dipercayai melakukan jenayah dalam skandal yang disifatkan sebagai terancang itu, dijangka didakwa dalam masa terdekat setelah selesai mengumpul bukti dan mengambil keterangan.

Menurut Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Jamidan Abdullah, pihaknya juga telah membekukan aset seperti hartanah bernilai RM5 juta milik individu-individu itu bagi membantu siasatan.

“Kita telah membekukan aset- aset mereka yang terlibat dan menunggu masa untuk merampasnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, suami bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Iskandar Investment Bhd. (IIB) mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM1.6 juta tahun lalu.

Mohd. Amin Suhaimi, 52, yang juga pengarah sebuah syarikat swasta membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.

Utusan Malaysia dalam laporan eksklusifnya hari ini mendedahkan sebuah syarikat pemaju yang terlibat dalam projek mega membangunkan Iskandar Malaysia disiasat SPRM berhubung dakwaan wujudnya unsur rasuah dalam projek yang bernilai bilion ringgit itu.

Siasatan terhadap syarikat itu dibuat kerana dipercayai berlaku unsur penyelewengan dalam perolehan kontrak dan beberapa projek yang dipertanggungjawabkan kepada syarikat berkenaan.

Syarikat yang disiasat itu bertanggungjawab membangunkan pelbagai projek besar dalam Iskandar Malaysia antaranya pembinaan infrastruktur, pusat pendidikan, kawasan perumahan, jalan, lebuh raya serta pusat riadah yang bernilai ratusan bilion ringgit.

Antara projek itu adalah pakej 3B iaitu membina dan menyiapkan persimpangan Jalan Abu Bakar bernilai RM124 juta, pembangunan Sekolah Berasrama Penuh di Sebahagian Lot PTD Mukim Pulai bernilai RM40.8 juta serta jalan alternatif Kampung Sungai Pendas Laut bernilai RM2.7 juta.

Iskandar Malaysia yang fasa pembangunannya sehingga 2025 akan menjadi sebuah pusat pertumbuhan terbesar rantau ini dengan keluasannya dua setengah kali ganda Singapura. - UM

No comments:

Post a Comment