My Add

Tuesday 27 December 2011

Selangor semakin kotor dengan sampah

 .
Antara puncanya sampah bertaburan dan tidak terurus disebabkan sikap seorang pengemis menyelongkar lambakan sampah di Petaling Jaya, semalam.

Oleh Siti Aishah Yusoff
PETALING JAYA, SELASA, 27 Disember, 2011: Semenjak kerajaan negeri Selangor menamatkan perkhidmatan Alam Flora, keadaan di negeri itu dilihat semakin kotor berikutan kegagalan kontraktor yang dilantik melaksanakan tugas dengan berkesan.

Beberapa orang penghuni pangsapuri Desa Mentari, Seksyen 6 di sini mengakui longgokan sampah di setiap blok kawasan itu dipungut oleh pihak bertanggungjawab.

Kata mereka, kawasan perumahan itu kini tidak ubah seperti kawasan pelupusan sampah kerana selain timbunan sampah yang banyak, beberapa individu yang menyelongkar tong sampah di situ juga boleh dilihat saban hari.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, setiap rumah sampah di blok pangsapuri itu dipenuhi dengan sampah-sarap dan sampah itu turut bertaburan di atas jalan kerana tong sudah penuh.

Suri rumah, Shamsiah Karim, 53, berkata, kelibat individu yang menyelongkar tong sampah itu boleh dilihat hampir setiap waktu termasuk waktu malam.

"Mereka mencari barangan yang boleh dijual semula seperti botol, besi dan tin tetapi tindakan mereka itu menyebabkan sampah bertaburan di atas jalan.

"Mereka tidak pentingkan kebersihan dan tidak menghiraukan keselesaan penduduk, sebaliknya tumpuan utama ialah mencari barangan yang boleh mendatangkan duit," katanya.

Seorang peniaga, Nuriah Che Ahmad, 42, berkata, memang ada kontraktor yang mengutip sampah di kawasan itu tetapi mereka 'buat kerja seperti tidak ikhlas'.

"Sampah yang di dalam tong sahaja dikutip manakala yang bertaburan dibiarkan begitu sahaja. Keadaan ini menyebabkan kawasan ini sentiasa nampak kotor dan tidak terurus," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk dari Semenyih yang menghubungi Utusan Malaysia berkata, sampah di kawasan rumahnya sudah lebih seminggu tidak dikutip.

Dia yang mahu dikenali sebagai Suhaimi berkata, kawasan rumahnya kini berbau busuk berikutan terdapat sisa makanan bertaburan di sekitar rumah sampah rumah.

"Sepatutnya sampah dikutip tiga kali seminggu, bayangkan sekarang sudah seminggu tidak dikutip," katanya yang mendakwa keadaan itu tidak berlaku semasa era Alam Flora dahulu.

Isu sampah: MBPJ akui ada kelemahan

Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengakui masih ada kelemahan dalam soal pengurusan sampah di kawasan pentadbirannya sejak mengambil alih urusan itu daripada Alam Flora Sdn. Bhd. sejak pertengahan Oktober lalu.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Roslan Sakiman berkata, sehingga awal bulan ini, aduan yang diterima berhubung sampah bukan sahaja tertinggi iaitu 320 aduan tetapi juga masih banyak belum berjaya diselesaikan.

Namun, beliau tidak menganggap perkara itu sebagai satu perkara yang melemahkan semangat pihak berkuasa tempatan itu untuk terus memastikan tahap kebersihan di kawasan pentadbirannya dipertingkatkan.

Menurutnya, kekurangan tenaga buruh adalah antara punca masalah berkaitan sampah gagal diselesaikan dengan berkesan.

“Walaupun menyedari kekurangan tersebut, kita sentiasa memandang ke hadapan dan cuba memperbaiki setiap kelemahan melalui gerak kerja yang lebih agresif,’’ katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Roslan berkata, bagi tahun depan, seramai 38 pengawas pemantau dilantik sebagai tambahan kepada 30 pengawas sedia ada bagi kerja-kerja pemantauan isu sampah mengikut zon terutama lokasi yang dikenal pasti sebagai kritikal.

Katanya, selain usaha MBPJ, kerjasama penduduk dan pemimpin setempat termasuk melaporkan kewujudan sampah di kawasan masing-masing boleh membantu menjadikan Petaling Jaya sentiasa bersih.

No comments:

Post a Comment