My Add

Tuesday 27 December 2011

Pantai Teluk Lipat 'dilipat' ombak besar

DUNGUN, SELASA, 27 Disember, 2011: Fenomena air pasang dan ombak besar yang melanda sebahagian pantai di Terengganu dilaporkan antara yang terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lalu.

Hampir kebanyakan kediaman dan kedai di sepanjang pesisir pantai terutamanya di daerah ini menerima kesan dengan hakisan pantai semakin kerap berlaku sehingga mengundang rasa bimbang penduduk.

Antara kawasan yang teruk dilanda fenomena itu yang dijangka berlarutan sehingga awal Januari depan adalah Pantai Peranginan Teluk Lipat Dungun yang sebahagian pesisir pantai itu dihakis ombak besar.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bukan sahaja berpuluh-puluh batang pokok Rhu tumbang malah, sebahagian besar jalan utama yang menghubungkan ke sebuah institusi pendidikan dekat sini turut ranap dipukul ombak.

Ombak kuat setinggi lima meter yang memukul pesisir pantai sepanjang tiga kilometer itu meruntuhkan jalan raya berkenaan sehingga memaksa ia ditutup untuk sebarang kenderaan.

Seorang pengusaha kedai makan, Ahmad Fauzi Ismail, 50, berkata, keadaan jalan raya yang runtuh akibat hakisan itu dikesan berlaku sejak empat hari lalu.

Katanya, sejak 26 tahun mengusahakan kedainya, ini adalah kejadian ombak besar paling teruk pernah berlaku sehingga mengundang rasa bimbang penduduk sekitar kawasan itu.

"Memang kawasan ini sering dilanda ombak besar setiap tahun namun, tidaklah sampai meranapkan jalan raya dan menumbangkan puluhan pokok," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Rosdi Busu, 42, berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah jalan di situ dengan segera kerana keadaan tersebut amat berbahaya kepada pengguna terutamanya pada waktu malam.

Katanya, biarpun tanda amaran telah diletakkan di beberapa bahagian jalan, namun kerja penambakan perlu dilaksanakan dengan lebih cepat ekoran air pasang yang dijangka lebih besar bermula malam tadi. - UM

No comments:

Post a Comment