My Add

Thursday 8 December 2011

Sistem pilihan raya kita adil, telus

CANBERRA, KHAMIS,08 Disember, 2011:
TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu yakin dengan sistem pilihan raya yang ada di Malaysia kerana ia terbukti berlangsung dengan adil dan telus.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini juga menjalankan tugas dengan profesional dan ini boleh dilihat sendiri oleh semua pihak termasuk pembangkang.

''Ada 16 pilihan raya kecil (selepas Pilihan Raya Umum Ke-12) dan saya terlibat lapan daripadanya yang mana ada masa Barisan Nasional (BN) menang dan ada yang kita kalah.

'Tapi pembangkang tuduh terdapat campur tangan dalam pengundian dan jika benar saya boleh buat begitu, kenapa ada masanya kita kalah dan ada yang kita menang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk Mengurus Transformasi Politik dan Ekonomi di Astralia National University (ANU) di sini semalam.

Program tersebut dihadiri kira-kira 200 orang pelajar dan rakyat Malaysia di Canberra.

Sementara itu, menjawab soalan lain, Muhyiddin berkata, BN selama ini terbukti cukup matang dalam proses politik negara termasuk dalam menerima keputusan pilihan raya kerana ia adalah pilihan pengundi.

Tambah beliau, BN sendiri sentiasa menghormati Perlembagaan Persekutuan dan juga undang-undang dan rakyat juga memahami berhubung cara kerajaan BN yang penuh bertanggungjawab.

''Untuk lebih lima dekad kita telah melalui sistem ini dan rakyat Malaysia sendiri memahami apa itu politik dengan mereka akan buat keputusan berdasarkan apa yang dirasakan terbaik," jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin berkata, pendidikan adalah salah satu cara yang dapat meletakkan rakyat dalam golongan berpendapatan tinggi dan sebab itu bidang berkenaan menjadi agenda utama kerajaan.

Katanya, ini dapat disaksikan menerusi peruntukan bajet yang mana kira-kira 26 peratus adalah untuk pendidikan daripada peringkat rendah, menengah dan universiti.

''Kita sekarang telah menjalankan kajian untuk menilai kembali sistem pendidikan yang pada masa sama kita percaya ia telah memberi banyak kejayaan sejak merdeka sehingga hari ini.

''Sekarang adalah masa sesuai selepas Penyata Razak dikeluarkan lama dahulu untuk kita lihatnya kembali bagi membolehkan negara terus mengorak langkah dalam melaksanakan sistem pendidikan yang dapat meningkatkan standard seperti negara maju," ujarnya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment