My Add

Thursday 1 December 2011

SPRM perlu diberi kuasa penuh dakwa kes

 PETALING JAYA. KHAMIS, 01 Disember, 2011 : 
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi kuasa penuh untuk mendakwa kes rasuah bagi memastikan tiada kes 'ditolak' peguam negara, kata Timbalan Presiden Transparency International (TI) Malaysia, Datuk Mohamad Ali Hasan. 

Beliau berkata pada masa ini, pihak peguam negara sahaja yang diberi kuasa penuh untuk menentukan sama ada sesuatu kes itu perlu dibuat pendakwaan di mahkamah atau sebaliknya.

"Pada ketika ini, SPRM hanya mempunyai kuasa untuk menahan seseorang yang disyaki melakukan rasuah dan menghantar kes itu untuk penelitian Peguam Negara. Apabila perkara ini berlaku, ada kes yang terpaksa 'ditolak' atau tidak dapat dibuat pendakwaan.

"Mungkin perubahan boleh dilakukan demi memastikan tiada satu kes pun terlepas. Kepercayaan orang awam terhadap ketelusan dan undang-undang di negara ini, terutamanya membabitkan isu rasuah, dapat dipertingkatkan," katanya selepas membentangkan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan Barometer Rasuah 2011 di sini hari ini. 

Bagi tahun ketiga berturut-turut, Malaysia menunjukkan kemelesetan pada skor CPInya. 

Skornya 4.3 bagi 2011 menurun sedikit dari 4.4 yang direkodkan tahun lepas dan ketara rendah dari tandaras kerajaan 4.9. 

Ranking Malaysia turut merosot ke kedudukan ke 60 (dari kalangan 183 negara) dari kedudukan 56 tahun lalu.

"Kalau kita lihat, CPI kita menurun, itu yang saya terkilan. Padahal kerajaan telah melaksanakan pelbagai program membanteras kegiatan rasuah, tapi ia masih belum berkesan di hati rakyat," katanya. 

Mohamad Ali turut mencadangkan setiap individu supaya mengisytiharkan harta benda agar persepsi 'ikan jerung' dapat dibawa ke muka pengadilan. 

"Politik wang juga perlu dihapuskan. Rakyat berpendapat politik wang masih berleluasa," katanya. 

Selain itu, kata beliau, panel penasihat SPRM tidak harus dipilih dari kalangan anggota parti politik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment