My Add

Thursday 8 December 2011

Tentera Laut Korea serah bantuan

LANGKAWI, KHAMIS, 08 Disember, 2011:
TENTERA Laut Republik Korea yang menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi membantu mangsa banjir di negara ini.

Sumbangan berupa 200 kotak barang penjagaan diri seperti produk kesihatan dan alat tulis khususnya untuk kanak-kanak bernilai kira-kira RM1,500.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Staf bagi dua kapal Korea yang menyertai LIMA 2011, ROKS Kang Gam Chan dan ROKS Chun Ji, Kapten Lee Yong Ho kepada Pengurus Komunikasi PBSM, Suhana Mohamed Salleh.

Menurut Suhana, pihaknya amat menghargai keprihatinan tentera laut Korea meskipun sibuk dengan pelbagai aktiviti sepanjang LIMA.

“Bantuan ini sudah tentu mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara,” katanya di jeti Awana Porto Malai di sini semalam.

Dalam pada itu, Yong Ho berkata, edisi LIMA tahun ini merupakan penyertaan kali ketujuh Korea Selatan menyertai edisi dwitahunan tersebut.

Katanya, edisi kali ini pula merupakan kali pertama kedua-dua kapal berkenaan menyertai LIMA dengan diperkuatkan 610 anak kapal kesemuanya.

Selepas LIMA, katanya, kedua-dua kapal tersebut yang kini dalam misi latihan pegawai kadet negara itu sejak 19 September lalu akan meneruskan pelayaran ke Tokyo, Jepun.

“LIMA 2011 semakin meriah dengan penglibatan lebih banyak negara mempamerkan aset mereka,” katanya.

ROKS Kang Gam Chan merupakan kapal pemusnah buatan DSME yang mula memasuki perkhidmatan tentera laut republik itu pada 2007, sementara ROKS Chun Ji pula merupakan kapal sokongan logistik dan mula berkhidmat pada 1991. - UM

No comments:

Post a Comment