My Add

Tuesday 27 December 2011

Tsunami terus segar dalam ingatan penduduk

GEORGETOWN, SELASA, 27 Disember, 2011: Tragedi ombak besar atau tsunami yang berlaku tujuh tahun lepas terus segar dalam ingatan mangsa di negeri ini kerana ia bukan sahaja meninggalkan memori luka bahkan turut mengubah corak kehidupan seharian mereka.

Tragedi yang berlaku pada 26 Disember 2004 itu mengakibatkan 52 mangsa terkorban manakala 141 cedera dan ketika kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu berlaku, kebanyakan mangsa sedang berkelah dan memancing di tepi pantai di Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Balik Pulau.

Disebalik kisah duka akibat bencana alam itu, namun tidak kurang juga yang mendapat rahmat apabila keadaan hidup mula berubah dengan memperoleh pekerjaan baru serta tempat tinggal yang lebih sempurna.

Mokhtar Syeikh Mohamad, 61, penduduk Kampung Baru, Tanjung Bungah berkata, selepas tsunami, kehidupannya sekeluarga berubah menjadi lebih baik daripada seorang nelayan kepada seorang peniaga makanan.

"Tapak perniagaan ini dahulunya bekas tinggalan rumah mangsa tsunami. Mereka berpindah dari sini ke pangsapuri kos rendah berhampiran. Daripada dibiarkan tidak terurus, saya memohon kepada ahli jawatankuasa kampung untuk berniaga di sini," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Mokhtar yang sudah enam tahun berniaga di tepi laut berhampiran masjid terapung itu mengakui berasa gerun dan bimbang apabila sekali sekala desir ombak kelihatan besar dan berbunyi garang.

"Rasa takut juga bila ombak bergulung lebih-lebih lagi pada penghujung tahun seperti ini. Saya pun selalu berpesan kepada pengunjung kedai agar sentiasa berjaga-jaga ketika di tepi laut dan jangan leka bermain air," katanya.

Bagi Mohamad Daud Abdullah, 45, kehadiran tsunami membuka lembaran baru dalam hidupnya apabila beliau mula terbuka hati untuk memeluk agama Islam selepas kira-kira tiga bulan tragedi ngeri itu berlaku.

"Ketika itu, saya sedang berkelah bersama rakan di tepi Pantai Miami, Batu Ferringhi, air laut naik secara mendadak. Walaupun panik, saya sempat menarik dua pengunjung pantai yang hampir hanyut dibawa arus yang kuat naik ke tebing," katanya.

S. Tulaashi, 'bayi tsunami' yang terselamat selepas dihanyutkan ombak ketika berusia 22 hari dalam kejadian itu berkata, peristiwa itu amat bermakna buat dirinya dan keluarga.

"Ibu dan bapa ada bercerita kepada saya keadaan pada waktu itu. Sukar untuk mempercayainya...saya suka bermain di tepi pantai, rasa gembira dapat bermain air laut...tetapi mesti ada keluarga yang menemani saya ke pantai," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment