My Add

Friday 2 December 2011

Tuanku Mizan rasmi bangunan baru Mahkamah Syariah KL

 
TUANKU Mizan Zainal Abidin mendengar penerangan Abdul Ghani Kiflie (kiri) selepas merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.
Turut Jamil Khir Baharom (dua, kanan) dan Ibrahim Lembut (tiga, kanan). - BERNAMA


KUALA LUMPURa, JUMAAT,  02 Disember, 2011:
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin merasmikan bangunan baru Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di Jalan Hartamas di sini, semalam.

Seri Paduka, yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Tan Sri Ibrahim Lembut turut meluangkan masa melawat ke ruang galeri bangunan badan kehakiman syarie itu.

Hadir sama, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Ghani Kiflie.

Mahkamah baru itu dibina pada 10 April 2006 dan siap pada 31 Mei 2011 dengan kos pembinaan bernilai RM96 juta.

Jamil Khir dalam ucapannya, semasa penubuhan Mahkamah Syariah pada 1 Februari 1974, terdapat beberapa pegawai termasuk Hakim Syarie sahaja, namun kini bilangannya bertambah kepada 130 orang termasuk Ketua Hakim Syarie, tiga Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan enam Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Badan kehakiman itu memulakan operasinya di Dewan Tuanku Abdul Rahman di Jalan Ampang sebelum berpindah ke Bangunan Jabatan Kerja Raya di Jalan Tun Abdul Razak dan berpindah pula ke Bangunan Baitulmal di Jalan Ipoh pada 1983 disusuli Bangunan Sulaiman di Jalan Damansara pada 1990 sebelum berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Hartamas.

Ibrahim pula yang ditemui pemberita berkata, perpindahan ke bangunan baru itu membolehkan Mahkamah Syariah menambah hakim syarie bagi menyelesaikan kes-kes yang melebihi tempoh tiga tahun dengan lebih cepat.

Beliau berkata, terdapat 11 dewan Mahkamah Rendah, enam dewan Mahkamah Tinggi dan sebuah dewan Mahkamah Rayuan yang boleh mempercepatkan lagi proses itu.

"Kalau dahulu kita hanya boleh mendengar perbicaraan di empat dewan, sedangkan perbicaraan terlalu banyak, tetapi pada hari ini kita boleh dengar enam hingga 11 kes dalam satu-satu masa dengan adanya tambahan dewan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment