My Add

Friday 2 December 2011

UMNO mendakap demokrasi, bukan rasis

NAJIB tiba untuk meraikan perwakilan di majlis jamuan presiden, malam tadi
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Dissember, 2011:
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO bukan sebuah pertubuhan rasis sebaliknya sebuah parti yang mendakap demokrasi.

Malah UMNO tegas beliau, sebenarnya pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum yang akhirnya berjaya mencipta kestabilan sosial dan kemakmuran nasional.

Parti itu juga menurut Najib, bukan parti yang gentar terhadap demokrasi sebagaimana dituduh oleh seteru-seteru politik mereka.

''Iltizam UMNO bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam pilihan raya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan.

''Prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan UMNO apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2. Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti,'' tegas beliau ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini semalam.

Bagi pemimpin dan orang-orang UMNO kata Najib, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa.

Keikhlasan itu kata Perdana Menteri, dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

''Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang UMNO untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihan raya, kemudiannya, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan,'' katanya.

Najib berkata, dalam parti pula UMNO telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi.

Ia katanya, bertujuan memberi hak kepada lebih ramai ahli UMNO untuk memilih pemimpin mereka.

Sambil mengambil contoh tiga parti pembangkang utama, Najib menegaskan parti-parti itu tidak demokratik.

Antaranya kata beliau, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasa pula daripada Presiden parti manakala sebuah lagi parti yang memakai gelar demokrasi, namun, langsung tidak demokratik.

''Sebuah lagi parti kononnya memperjuangkan negara kebajikan tetapi jawatan Mursyidul Am pun tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa daripada Presiden,'' tegasnya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment