My Add

Friday 2 December 2011

Najib perkenal buku Menjuarai Transformasi




NAJIB Tun Razak bersama Shahruddin Salleh (kiri) dan Mohd. Khair Ngadiron menunjukkan buku Menjuarai Transformasi pada pelancaran buku tersebut sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR, JUMAATM O2 Disember, 2011: DATUK Seri Najib Tun Razak sekali lagi menemui khalayak pembaca dengan memperkenalkan buku terbaharu Menjuarai Transformasi menampilkan prinsip kekuatan yang menjadi titik-tolak kejayaan negara berlandaskan perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan sosial.

Buku terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) itu diperkenalkan kepada umum oleh Perdana Menteri sejurus beliau menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Datuk Dr. Shahruddin Salleh dan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.

Buku diterbitkan dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris itu mengandungi 11 bab yang turut menyentuh tentang proses melestarikan kelangsungan kepimpinan UMNO di persada politik tanah air.

Dalam empat bab awal yang menjadi teras buku tersebut, Perdana Menteri melontarkan wawasannya dan cara mengangkat bangsa Malaysia khususnya orang Melayu dalam membentuk mekanisme siasah sebagai alat memupuk perpaduan.

Sehubungan itu, beliau berpegang pada tiga prinsip utama iaitu kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional; Islam sebagai addin dan kemakmuran negara sebagai tonggak keadilan sosial.

Pada bab seterusnya, Najib menerangkan secara jelas kepentingan mekanisme lain dalam usaha kerajaan pimpinannya memastikan kestabilan perpaduan nasional.

Dalam buku itu, beliau mengajak para pembaca tanpa mengira latar belakang politik dan keturunan untuk berani melaksanakan perubahan serta transformasi yang bersesuaian mengikut keperluan semasa demi mengukuhkan kekuatan negara dan bangsa terutama orang Melayu.

Buku Menjuarai Transformasi itu merupakan karya keempat Najib selepas buku Menakhoda Zaman, Jawapan Najib dan Perkhidmatan Awam: Meneraju Perubahan, Melangkau Jangkaan.

Apa yang menarik buku tersebut menggunakan sepenuhnya bahan mesra alam dan semula jadi selain diterbitkan secara ekocetak, sekali gus melayakkannya menjadi buku pertama di negara ini yang mendapat pengiktirafan SIRIM QAS International Eco-Labelling Scheme.

Buku setebal 158 halaman dijual pada harga RM32 senaskhah dan sempena Perhimpunan Agung UMNO kali ini, orang ramai boleh mendapatkannya dengan harga diskaun sebanyak 30 peratus di gerai jualan ITNM di Aras 3, PWTC di sini.

No comments:

Post a Comment