My Add

Thursday 8 December 2011

Ustaz Budak: JHEAIK mulakan siasatan

KOTA BHARU, KHAMIS, 08 Disember, 2011: 
JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) memulakan siasatan berhubung penceramah Pas, Shamsul Zaman Sukri atau 'Ustaz Budak' yang dikatakan menyamakan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan nabi.

Pengarah JHEAIK, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, siasatan itu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan jabatan berkenaan mengikut peruntukan enakmen sedia ada.

"Bahagian Penguatkuasaan JHEAIK telahpun membuat siasatan mengikut peruntukan enakmen," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan sekumpulan penduduk kampung dari daerah Pasir Mas yang tampil menyerahkan salinan rakaman ceramah Shamsul Zaman atau 'Ustaz Budak' yang dikatakan menyamakan Nik Abdul Aziz dengan nabi ke pejabat JHEAIK semalam.

Kumpulan penduduk itu mendakwa, ia merupakan rakaman ceramah sepanjang 10 minit tanpa disunting seperti yang disiarkan oleh laman portal dan blog sebelum ini.

Wakil penduduk terbabit, Mohd. Nor Ismail berkata, pihaknya menyerahkan salinan video cakera padat (VCD) tersebut kerana berasa bertanggungjawab terhadap masalah yang timbul dan berharap JHEAIK menjalankan siasatan secara terperinci.

Sebelum ini sebuah portal, detikperubahan.com menyiarkan ceramah Shamsul Zaman yang telah diedit sepanjang kira-kira dua minit.

Ditanya sama ada pihaknya telah memanggil Shamsul Zaman atau mana-mana pihak untuk memberi keterangan, Che Mohd. Rahim yang kini berada di Kuala Lumpur memberitahu, beliau akan memberi ulasan lanjut sekembalinya ke Kelantan esok.

"Saya di KL, nanti balik saya komen," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment