My Add

Sunday 22 January 2012

1,000 masyarakat Tionghua Pasir Mas dirai

PASIR MAS, AHAD, 22 Januari, 2012: Biarpun Tahun Baru Cina disambut Isnin ini, namun suasananya sudah dirasai khususnya bagi penduduk Kampung Tendong dekat sini apabila kira-kira 1,000 masyarakat Tionghua diraikan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali di majlis Malam Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat malam semalam..

Ibrahim dalam ucapannya berkata, sejak negara merdeka lebih 50 tahun lalu masyarakat majmuk di negara ini sememangnya berada dalam keadaan aman dan makmur.

Malah katanya, situasi itu akan terus utuh selagi asas Perlembagaan negara terus didokong oleh rakyat berbilang bangsa dalam negara ini.

"Kita mahu jalinan erat semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum sentiasa dalam keadaan harmoni, sebab itu kita kena sama-sama mendokong dasar negara dengan mempertahankan asas Perlembagaan negara yang dibentuk pada 1957 waktu negara mencapai kemerdekaan.

"Inilah satu-satunya keistimewaan yang terdapat dalam negara kita dan suasana ini perlu dipertahan hingga ke anak cucu. Tidak wajar kalau ia diperjudikan semata-mata demi kepentingan peribadi atau politik sehingga boleh memecah-belahkan ummah.

"Kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti beberapa negara di dunia yang tidak pernah bebas daripada persengketaan, hidup kucar-kacir, bergaduh dan berperang sesama sendiri,'' katanya.

Beliau turut mengingatkan golongan muda khususnya supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang sanggup memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik semata-mata.

Pada majlis tersebut, Ibrahim turut menyampaikan angpau dan limau kepada masyarakat terbabit sambil mengharapkan Tahun Baru Cina kali ini yang jatuh pada tahun naga, disambut dengan penuh keceriaan. - MM

No comments:

Post a Comment