My Add

Tuesday 3 January 2012

Bekalan ubat negara masih mencukupi

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
KUALA LUMPUR, SELASA, 03 Januari, 2012: Negara mempunyai simpanan ubat yang mencukupi biarpun berlaku kes kecurian ubat bernilai RM1 juta dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) minggu lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ubat yang hilang itu sudah ditemui semula oleh pihak polis dan kementerian berharap ia dapat dipulangkan segera kepada hospital berkenaan untuk rawatan orang ramai.

“Kecurian boleh menyebabkan kita kekurangan ubat untuk orang ramai namun bekalannya masih mencukupi setakat ini.

“Sebab itu kita pandang serius kes kecurian ini dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam kes ini,” katanya selepas merasmikan pembukaan Chempaka Medical Services Centre di sini semalam.

Semalam, akhbar melaporkan dua kakitangan HKL yang dipercayai terlibat dengan insiden itu ditahan polis pada Khamis lalu selepas satu laporan dibuat oleh pihak HKL apabila menyedari kehilangan ubat-ubat tersebut.

Menurut Tiong Lai, kementerian memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi menyelesaikan kes kecurian itu dan sekiranya didapati bersalah, mereka yang terlibat boleh dilucutkan jawatan selain hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

“Kami serahkan semuanya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan kita telah kenal pasti mereka yang terlibat. Kami percaya ia didalangi oleh kakitangan hospital berkenaan memandangkan prosedur pengeluaran ubat yang diguna pakai adalah ketat.

“Setiap ubat yang hendak dikeluarkan mesti dilampirkan dengan rekod kesihatan pesakit dan dalam kes ini, pengeluaran berkenaan berlaku tanpa lampiran tersebut,” katanya.

Menurutnya, kementerian percaya kesemua ubat yang dicuri itu hendak diseludup ke pasaran gelap dan kejadian tersebut adalah yang pertama kali dikesan melibatkan jumlah yang besar.

Mengulas penularan wabak Influenza A (H5N1), tegasnya, kementerian sentiasa memantau perkembangan wabak berkenaan dan setakat ini masih belum ada laporan mengenai jangkitan terhadap manusia di negara ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah pencegahan seperti menjauhi lokasi yang berpotensi mendatangkan jangkitan dan sentiasa mencuci tangan.

“Sekiranya terdapat jangkitan antara manusia berlaku, kita akan memberi lebih perhatian bagi membendung penularan wabak berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tiong Lai menasihatkan penggemar teh tarik agar mengubah selera mereka kerana kajian yang dijalankan kementerian mendapati kandungan gula di dalam 100 mililiter air minuman itu mengandungi 12 gram gula dan ia melebihi jumlah yang disarankan iaitu lapan gram ke bawah.

“Jadi mereka bolehlah beralih kepada teh tarik kurang manis demi menjaga kesihatan masing-masing,” ujarnya. - UM

No comments:

Post a Comment