My Add

Thursday 26 January 2012

15,000 orang terima RM7.5 juta

CHOR Chee Heung (kiri) dan Ahmad Bashah Md. Hanipah mendekati rakyat yang menerima wang bantuan BR1M di Anak Bukit, Alor Setar, kelmarin.

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH 

ALOR SETAR, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Kerajaan Persekutuan telah mengagihkan sejumlah RM7.5 juta wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada seramai 15,000 penerima di negeri ini sejak 16 Januari lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, proses penyerahan sebanyak RM500 kepada 350,000 keseluruhan penerima yang layak di Kedah sedang berjalan di setiap peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga pertengahan Mac ini.

“Setiap hari, enam DUN membuat penyerahan wang bantuan berkenaan dengan setiap satu melibatkan kira-kira 1,000 penerima.

“Berdasarkan maklumat daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan, 15,000 penerima di negeri ini telah mendapat wang berkenaan sehingga kini,” katanya selepas majlis penyerahan BR1M kepada penduduk dalam DUN Kota Darul Aman di Dewan Serbaguna Kompleks Mu’adzam Shah, di sini, kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Ahmad Bashah berkata, orang ramai yang belum mendapat maklum balas mengenai status permohonan bantuan wang berkenaan diminta bersabar, prosesnya mengambil masa ekoran jumlah penerima yang ramai.

Katanya, kerajaan memahami kegelisahan orang ramai yang belum mendapat maklum balas mengenai tarikh penyerahan wang tersebut meskipun permohonan telah dibuat.

“Mereka yang telah memohon diminta bersabar kerana proses mengeluarkan surat pemberitahuan sedang berjalan secara berperingkat. Kita harus faham ia melibatkan seramai 350,000 orang, lagi pun tempoh penyerahan wang adalah sehingga 15 Mac ini,” ujar beliau.

Bagi mereka yang belum memohon, katanya, masih ada lagi waktu kerana tarikh tutup pengisian borang telah dilanjutkan sehingga 10 Februari ini.

Bagaimanapun tegas beliau, orang ramai yang membuat permohonan mestilah bersikap jujur iaitu hanya mereka yang benar-benar layak dengan mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment