My Add

Thursday 26 January 2012

NS setuju jual air kepada Selangor

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

SEREMBAN, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Kerajaan negeri bersetuju menjual air terawat kepada Selangor bagi mengatasi kemelut bekalan air yang bakal dihadapi oleh negeri jiran itu menjelang 2014.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memohon supaya kerajaan negeri mempertimbangkan perkara tersebut selepas wujudnya kekurangan bekalan air terawat di beberapa kawasan di Selangor yang bersempadan dengan Negeri Sembilan.

Katanya, ketika ini, SPAN telah memohon supaya kerajaan negeri menyalurkan bekalan air sebanyak 45juta hingga 70 juta liter sehari kepada Selangor.

''Kita sedang berbincang butiran lanjut perjanjian itu dan nilai yang kita tawarkan mengikut harga komersial," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini, semalam.

Mohamad turut menjelaskan, kerajaan negeri telah pun sebelum ini menyalurkan bekalan air terawat ke kawasan berhampiran seperti di Broga dan Semenyih, Selangor.

''Kita mendapat makluman, terdapat beberapa kawasan di daerah Selangor berhadapan bekalan air tidak menentu dan tekanan rendah. Empat daerah itu ialah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

"Keadaan itu juga memaksa Syarikat bekalan Air Selangor (Syabas) untuk meningkatkan pengeluaran air pada tahap maksimum iaitu 466 juta liter air sehari di Loji Sungai Langat dan 688 juta liter lagi di Loji Sungai Semenyih,'' katanya.

Mohamad memberitahu, sebelum ini negeri itu pernah membeli air terawat dari negeri Selangor dan Johor. Bagaimanapun, kini tidak lagi berhadapan masalah berkenaan selepas beberapa loji rawatan baru siap dibina.

''Sekiranya berlaku krisis bekalan air, empat empangan utama di negeri ini, mampu bertahan untuk tempoh tiga hingga empat bulan," jelasnya.

Tegasnya, kerajaan negeri kini bersedia untuk menjual air terawat kepada Selangor menjelang awal tahun hadapan.

Loji Ngoi-Ngoi dekat sini, katanya, mampu memproses air terawat sebanyak 135 juta liter sehari akan menjadi ejen pembekal air kepada kawasan yang terjejas di negeri Selangor itu.

''Kerajaan negeri juga mampumembekalkan air ke kawasan utara Johor, jika ada keperluan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment