KUCHING, KHAMIS, 26 Januri, 212: Pelaksanaan projek pembangunan di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) kini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan sejak ia dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, projek mega itu berada pada landasan yang betul untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.
"Saya fikir pelaksanaan pembangunan di wilayah SCORE telah melebihi apa yang kita sasarkan sebelum ini.
"Oleh itu, saya amat yakin bahawa ia akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri di samping menambah baik kualiti hidup rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri rumah terbuka ahli perniagaan, Datuk Sim Swee Yong sempena Tahun Baru Cina di sini semalam.
Hadir sama, isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Pembangunan Sosial negeri, Tan Sri William Mawan Ikom dan Menteri Kemudahan Awam negeri, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.
Abdul Taib berkata, kerajaan negeri sedang memberi tumpuan terhadap usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang teknikal bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang di wilayah tersebut.
Menurut beliau, antara pendekatan yang dilaksanakan adalah membangunkan pelan induk latihan teknikal.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, perkembangan ekonomi negeri dijangka tidak terjejas teruk walaupun kuasa besar seperti Amerika Syarikat serta negara-negara di rantau Eropah berdepan dengan krisis ekonomi.
"Kita di rantau Asia tidak seharusnya berasa bimbang, sebaliknya perlu memanfaatkan apa saja yang kita ada supaya tidak menerima kesan sama," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment