My Add

Monday 23 January 2012

2,040 terima BR1M di DUN Beserah

SHAMSUL Anwar Sulaiman (duduk, kiri) bertanyakan sesuatu kepada Halijah Abu Bakar sambil diperhatikan oleh Zaharah Othman, Suhaimi Sulong (berdiri, tengah), Wan Adnan Wan Mamat (kiri) serta Mohd. Hazmi Yusof (duduk, kanan) pada majlis penyampaian BR1M di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN, ISNIN, 23 Januari, 2012: Seramai 2,040 penduduk Mukim Sungai Karang dan Beserah menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disampaikan kepada mereka pada majlis yang diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) di sini, baru-baru ini.

Majlis penyampaian bantuan itu dimeriahkan dengan program pemeriksaan kesihatan percuma yang mendapat sambutan orang ramai.

Seorang penerima, Zaharah Othman, 56, memberitahu, dia dan ibunya, Halijah Abu Bakar, 78, gembira kerana terpilih dan lega kerana urusan itu berlangsung dengan lancar.

Menurut Zaharah, biarpun terpaksa menunggu agak lama, namun kesungguhan petugas memudahkan urusan bagi penerima seperti mereka.

"Lega dan syukur, sekurang-kurangnya duit ini dapat digunakan untuk perbelanjaan rumah.

"Malah, duit yang diterima ibu akan digunakan untuk membeli ubat kerana dia tidak dapat bergerak cergas dan bergantung pada kerusi roda sejak dua tahun lalu kerana sakit lutut," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Sementara itu, Ketua UMNO Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusof berkata, beliau bersyukur kerana majlis itu berlangsung dengan lancar tanpa masalah besar.

Katanya, program itu turut mencipta kelainan dengan penganjuran program pemeriksaan kesihatan dan pemberian cermin mata secara percuma buat warga emas yang dikendalikan oleh Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, sumbangan kerajaan itu dapat meringankan beban rakyat dan bagi mukim itu, majoriti penerima iaitu 65 peratus terdiri daripada golongan bekerja sendiri sama ada bekerja kampung, nelayan atau lain-lain.

"Fasa kedua membabitkan 6,000 penerima bagi DUN ini akan berlangsung pada awal bulan depan dan kita harap rakyat menghargai usaha kerajaan dengan memberikan sokongan padu kepada pucuk pemerintahan," katanya.

Hadir sama pada program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Suhaimi Sulong serta Pengarah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Pembangunan 1MDB, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment