My Add

Wednesday 25 January 2012

Penjara mandatori pemandu bahaya perlu kajian - Polis

KUANTAN, RABU, 25 Januari, 2012: Cadangan mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu kenderaan yang menyebabkan kemalangan maut adalah baik dan perlu kajian terperinci sebelum pelaksanaannya.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, kesedaran pengguna terhadap keselamatan di jalan raya adalah penting sebelum memutuskan apa sahaja hukuman yang dilaksanakan.

"Sekiranya hukuman penjara mandatori menjadi kesedaran kepada pengguna jalan raya, maka saya rasa, itu yang kita kena buat.

"Bagaimanapun, kajian terperinci perlu dilakukan sebelum memutuskan cadangan tersebut sebagai satu hukuman kepada pemandu yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan maut," katanya kepada pemberita selepas taklimat dan lawatan di lokasi Ops Sikap Ke-25 Jalan Gambang, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye Ahad lalu mengenai cadangan tersebut dan beberapa langkah untuk mengurangkan kemalangan di jalan raya ketika musim perayaan.

Sementara itu, menurut Salleh, beliau memohon kerjasama daripada pengguna jalan raya bersama-sama menurunkan kadar kemalangan terutama yang melibatkan kehilangan nyawa.

"Sikap pengguna ketika berada di atas jalan raya perlu berubah dengan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, tidak semua pemandu bersikap negatif tetapi perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mengikut arahan yang dikeluarkan pihak polis dari semasa ke sesama," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment