My Add

Thursday 26 January 2012

600 penduduk dapat geran tanah



AHMAD Said (kanan) menyerahkan geran hak milik tanah kepada seorang penerima di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Oleh SAPEE MAT JUNUS

KEMAMAN, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Setelah mengemukakan permohonan dan menunggu bertahun-tahun, seramai 600 penduduk di daerah ini akhirnya memperoleh geran tanah baru-baru ini.

Ia suatu detik yang menggembirakan mereka kerana akhirnya memiliki tanah secara sah dengan hanya perlu membayar 10 hingga 15 peratus daripada nilai sebenar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis penyerahan geran berkenaan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman mengingatkan mereka agar menghargai pemberian itu.


Katanya, mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan menjual tanah yang diberikan hanya untuk mencari keuntungan singkat dan mengabaikan keperluan masa depan keluarga.

Beliau berkata, ini kerana banyak kes seumpama itu telah berlaku seperti di Geliga dan Kuala Kemaman yang telah menjual tanah untuk mendapat keuntungan segera.

Justeru, bagi mengelakkan perkara sama berulang, katanya, syarat ketat diperkenalkan iaitu penerima tidak dibenarkan memindah hak milik tanah dalam tempoh 10 tahun.

“Sebab itu juga kita tutup seketika permohonan tanah kerana dalam kalangan kita ada yang tidak amanah. Isu tanah kita tidak pandang remeh.

“Sesiapa yang tidak memiliki tanah lagi kita akan beri tanah sebab dasar kita sekarang sebuah keluarga satu lot tanah.

“Tetapi jika ketua keluarga datang minta tanah untuk isteri dan anak-anak kita tidak beri,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Kwek Bee Lian, 59, begitu teruja apabila memperoleh geran tanah yang disampaikan oleh Ahmad.

“Kami merasa lega setelah menanti selama tiga tahun akhirnya ‘berbuah’ juga. Terima kasih Datuk Seri dan kerajaan negeri,” katanya.

Kegembiraan itu dikongsi Kembang Daud, 78, yang cukup terharu apabila kerajaan mengotakan janji untuk memberi tapak lain kepadanya bagi menggantikan tanahnya di tapak Casa Limbong yang diambil untuk dijadikan pusat beli belah.

Manakala Ibrahim Komee, 67, yang hanya bergantung kepada bantuan kerajaan sebanyak RM200 sebulan bersyukur kerana akhirnya dapat menetap di tanah sendiri.

“Alhamdulillah, setelah empat tahun menunggu, hari ini saya dapat hak milik tanah yang sah,” ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment