My Add

Thursday 26 January 2012

Jalan Felda Cerul ke Bukit Sagu rosak teruk


SEBAHAGIAN daripada jalan di Felda Cerul, Kemaman ke Bukit Sagu-Kuantan dan Jerangau-Jabor yang rosak teruk dan perlu dibaiki segera.

KEMAMAN. KHAMIS, 26 Januari, 201: Pengguna jalan Felda Cerul ke Bukit Sagu, Kuantan dan Jerangau-Jabor menggesa pihak berkuasa supaya membaiki jalan berkenaan yang rosak teruk sejak lebih setahun lalu.

Masalah itu lebih dirasakan oleh para penduduk di penempatan Felda Cerul dan Bandar Ceneh Baru serta beberapa kampung sekitarnya.

Kebanyakan penduduk kecewa kerana keadaan jalan yang berlubang dan berlopak itu dibiarkan berlarutan sejak sekian lama dan menimbulkan kesulitan kepada mereka.

Yunus Awang, 51, ketika ditemui berkata, dia menggunakan jalan berkenaan setiap hari ke bandar Cukai atas urusan kerja dan kesal kerana dibiarkan rosak begitu lama.

"Jalan yang tidak sempurna itu membahayakan pengguna dan telah banyak berlaku kemalangan di samping mudah merosakkan kenderaan," ujarnya.

Syed Yusuf Tuan Syed, 50, yang berulang-alik dengan motosikal untuk bekerja di Bandar Ceneh Baru mendakwa sepanjang jalan banyak permukaan yang berlubang.

"Sepanjang melaluinya saya melihat banyak kemalangan kecil berlaku sehingga mencederakan penunggang motosikal," ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Rashid Mat Noh, 47, berkata, keadaan jalan yang rosak itu amat berbahaya kepada pengguna terutama pada sebelah malam apatah lagi jika mereka belum biasa dengan laluan itu.

"Walaupun sebelum ini sebahagian lubang berkenaan telah ditampal, namun ia tidak bertahan lama kerana jalan itu turut digunakan oleh kenderaan berat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment