My Add

Saturday 21 January 2012

720,000 pengguna terjejas






KADAR kekeruhan air Sungai Langat, Hulu Langat menyebabkan loji rawatan air di situ terpaksa mengurangkan kadar pengeluaran air terawat.

Oleh A. JAILANI ABDULAH

KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Januari, 2012: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat sekali lagi berdepan masalah, kali ini mungkin akan menyebabkan 720,000 pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur menghadapi gangguan bekalan air.

Kali ini loji itu terpaksa mengurangkan kadar pengeluaran air terawat akibat peningkatan kadar kekeruhan Sungai Langat yang menjadi sumber air di muka sauknya pada malam kelmarin.

Loji itu membekalkan 450 juta liter sehari (JLH) air bersih kepada 48 peratus atau 720,000 penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur. Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) memaklumkan pihaknya telah dimaklumkan oleh operator loji mengenai perkara itu pada pukul 8.48 malam kelmarin.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, operator loji itu terpaksa mengurangkan jumlah pengeluaran air daripada 450 JLH kepada 200 JLH sahaja setelah kekeruhan yang mencatatkan sehingga 10,564 NTU (Nephelometric Turbidity Unit) berbanding 700 NTU pada waktu biasa.

"Kejadian pencemaran air mentah seumpama ini amat membimbangkan pihak Syabas kerana sekiranya tempoh masa pengurangan pengeluaran loji rawatan air ini berterusan, ia akan mengakibatkan gangguan bekalan air bersih kepada kira-kira 160,000 akaun atau kira-kira 720,000 pengguna di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, selain daripada pengguna komersial dan industri.

"Keadaan ini menjadi bertambah kritikal apabila kapasiti bekalan air bersih sedia ada terutamanya di kawasan tersebut adalah terhad.

"Untuk makluman, kadar pengeluaran air terawat semasa di loji-loji rawatan air yang membekalkan air ke kawasan Kuala Lumpur serta Hulu Langat khususnya LRA Sungai Langat, LRA Sungai Semenyih dan LRA Cheras Batu 11 telah beroperasi melebihi kapasiti reka bentuknya dan tidak boleh meningkatkan lagi pengeluaran air terawat," kata Abdul Halem dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, Syabas juga khuatir sekiranya situasi ini berterusan, risiko berlaku kerosakan pada loji-loji ini adalah tinggi.

"Selain itu, loji-loji yang beroperasi melebihi kapasiti reka bentuknya juga telah menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan air di kawasan-kawasan bekalan LRA tersebut terutamanya semasa penggunaan puncak," katanya.

Katanya, pada masa ini, kawasan-kawasan yang mengalami kekurangan bekalan air secara umumnya terletak di sekitar daerah Petaling Jaya, Hulu Langat, selatan Kuala Lumpur dan Klang.

Mengenai sebab kekeruhan berlaku, Abdul Halem memberitahu operator loji mengesyaki kekeruhan air mentah di Sungai Langat berpunca daripada hujan lebat di kawasan tadahan menyebabkan kandungan pepejal terampai dari aktiviti-aktiviti pengorekan pasir, kuari-kuari dan kerja-kerja tanah di kawasan berdekatan telah mengalir ke dalam sungai. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment